Ulama Indonesia bantah cadangan benarkan kasino

Ulama Indonesia bantah cadangan benarkan kasino

MUI menyifatkan pembukaan kasino di Indonesia bertentangan dengan undang-undang dan norma masyarakat.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Majlis Ulama Indonesia (MUI) menyuarakan bantahan tegas terhadap idea membuka kasino di negara itu, menegaskan ia bertentangan dengan aspek agama, Perlembagaan dan nilai moral.

Cadangan untuk membenarkan kasino diutarakan pada 8 Mei lalu oleh Anggota Parlimen Parti Golkar, Galih Kartasasmita yang mencadangkan agar Indonesia mempertimbangkan penyelesaian ‘luar kotak’ untuk meningkatkan hasil negara.

Beliau turut merujuk kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE), negara majoriti Islam yang membenarkan operasi kasino.

Timbalan Pengerusi MUI, Anwar Abbas mengakui terkejut mendengar cadangan tersebut kerana perjudian di Indonesia bertentangan dengan undang-undang dan norma masyarakat.

“Ini jelas melanggar prinsip agama dan perlembagaan kita, yang menjunjung tinggi kepercayaan kepada Tuhan Yang Maha Esa.

“Indonesia ialah negara budaya dan mengamalkan kepercayaan. Kita mesti mencari cara yang halal untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat dan bukannya membuka pintu kepada amalan yang jelas dilarang oleh agama,” tegasnya.

Beliau menolak tanggapan perjudian boleh berfungsi sebagai penyelesaian masalah ekonomi, dengan menyatakan sebarang bentuk pendapatan yang diperoleh daripada amalan yang tidak bersih atau haram adalah tidak wajar.

“Kita tidak boleh kehilangan jati diri sebagai sebuah negara yang berteraskan kepercayaan dan budaya,” katanya.

Daripada beralih kepada perjudian, Anwar menggesa pemerintah supaya menumpukan usaha meningkatkan produktiviti negara dan mengurus sumber asli dengan lebih berkesan.

Beliau turut menekankan keperluan untuk menangani pengangguran dan membangunkan sektor produktif yang sejajar dengan nilai nasional.

“Jika pemerintah membenarkan perjudian, ia akan mewujudkan isu ekonomi dan juga merosakkan struktur sosial dan moral negara,” katanya.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN