DUBAI: Perdana Menteri Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohammed Rashid mengumumkan bakal memperkenalkan pelajaran berkaitan kecerdasan buatan (AI) kepada semua murid sekolah kerajaan bermula seawal tadika mulai tahun akademik akan datang.
Dalam satu hantaran di platform X pada Ahad, Sheikh Mohammed memaklumkan Kabinet UAE meluluskan kurikulum akhir untuk memperkenalkan subjek AI di semua peringkat pendidikan kerajaan, dari tadika hingga tingkatan 6.
“Matlamat kami adalah untuk mendidik anak-anak kita agar memahami AI secara mendalam dari sudut teknikal, serta membentuk kesedaran mereka tentang etika teknologi baharu ini.
“Menjadi tanggungjawab kami untuk mempersiapkan generasi akan datang bagi menghadapi zaman yang sangat berbeza daripada yang kita alami sekarang,” katanya dipetik Arab News.
Langkah ini bertujuan membekalkan pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran asas dalam memahami konsep AI yang bersesuaian dengan tahap akademik mereka.
Menteri Pendidikan UAE, Sarah Al-Amiri berkata, pengenalan subjek AI dalam bilik darjah mencerminkan visi masa depan kerajaan UAE, menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh agensi berita WAM.
Menurut kenyataan itu, UAE akan menjadi antara negara yang terawal di dunia memperkenalkan AI dalam kurikulum sekolah.
Kurikulum AI tersebut akan merangkumi tujuh bidang utama, termasuk konsep asas, data dan algoritma, penggunaan perisian, kesedaran etika, aplikasi dunia sebenar, inovasi dan reka bentuk projek, serta dasar dan penglibatan komuniti.