ABU DHABI: Emiriah Arab Bersatu (UAE) akan melabur AS$1.4 trilion (RM6 trilion) di Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh sedekad akan datang, umum Presiden Sheikh Mohammed bin Zayed Al Nahyan pada Khamis semasa perbincangan dengan Presiden Donald Trump di Qasr Al Watan, Abu Dhabi.
Sheikh Mohammed berkata, pelaburan tersebut, yang akan disalurkan melalui institusi pelaburan Emirati, akan memberi tumpuan kepada sektor ekonomi baharu, tenaga, teknologi canggih, kecerdasan buatan dan industri, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Beliau menekankan AS sebagai rakan strategik utama dalam aspirasi UAE meneroka angkasa, termasuk misi Marikh, program latihan angkasawan dan projek penerokaan sabuk asteroid.
“Pada Mac lalu, anda menyatakan bahawa UAE sentiasa menjadi rakan strategik dalam menyokong usaha keamanan dan keselamatan di Asia Barat dan seluruh dunia.
“Hari ini, saya menegaskan semula Abu Dhabi komited meneruskan kerjasama dengan Washington untuk mencapai keamanan dan kestabilan di rantau kita dan seterusnya,” kata Sheikh Mohammed kepada Presiden Donald Trump.
Beliau turut menyuarakan keyakinan lawatan Trump akan mengukuhkan lagi hubungan dua hala dengan ketara, sambil menambah:
Menurut agensi berita rasmi WAM, Trump disambut di lapangan terbang Abu Dhabi oleh Presiden Sheikh Mohammed sebelum melawat Masjid Besar Sheikh Zayed bersama Putera Mahkota Sheikh Khaled bin Mohammed bin Zayed Al Nahyan.
Lawatan Trump ke Abu Dhabi merupakan persinggahan terakhir dalam jelajah Teluk beliau, selepas kunjungan ke Arab Saudi dan Qatar, serta menandakan kali pertama seorang Presiden AS berkunjung ke Emiriah Arab Bersatu sejak George W. Bush pada 2008.