WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump memutuskan semua bentuk komunikasi dengan Perdana Menteri Israel berikutan kebimbangan Benjamin Netanyahu cuba memanipulasinya.
Wartawan Radio Tentera Israel, Yanir Cozin menerusi platform X berkata, Trump membuat keputusan itu kerana mengesyaki Netanyahu berusaha mempengaruhi atau memanipulasinya demi kepentingan peribadi.
Tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pegawai AS mahupun Israel berhubung dakwaan Cozin, namun kenyataan tersebut seiring laporan akhbar berhaluan kanan dan menyokong kerajaan, Israel Hayom yang turut melaporkan keretakan ketara dalam hubungan peribadi antara kedua-dua pemimpin serta kekecewaan yang semakin memuncak.
Cozin turut melaporkan Trump bercadang terus bergerak ke hadapan mengenai isu Asia Barat tanpa menunggu kerjasama Netanyahu membuktikan jurang yang semakin besar dalam pandangan kedua-dua pemimpin terhadap perkembangan serantau.
Beliau juga merujuk kepada satu pertemuan pada April lalu antara Menteri Hal Ehwal Strategik Israel, Ron Dermer dengan beberapa penggubal undang-undang Republikan kanan di Washington.
Dalam pertemuan itu, Dermer menyatakan kepada mereka apa yang ‘Trump sepatutnya lakukan’ dan kemudiannya menimbulkan kemarahan presiden AS.
Menurut Cozin, tindakan Dermer itulah yang mendorong penasihat-penasihat kanan Trump menjauhkan beliau daripada Netanyahu.
Israel Hayom memetik sumber rapat Trump mendakwa beliau kini kecewa dengan Netanyahu dan merancang mengambil langkah di Asia Barat tanpa menunggu Perdana Menteri Israel itu.
Sumber-sumber itu turut menyatakan Trump amat berminat dengan keputusan yang dapat mengukuhkan kepentingan strategik AS.
Sebahagian langkah itu dipercayai berkaitan dengan rundingan normalisasi hubungan antara Israel dan Arab Saudi yang telah lama diusahakan oleh Washington.









