RIYADH: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump semalam memuji bekas panglima perang yang kini mengetuai kerajaan interim Syria sebagai seorang lelaki ‘muda dan menarik’, sambil mengumumkan penamatan sekatan ekonomi AS terhadap Syria yang telah berkuat kuasa sejak 2011.
Tokoh yang dimaksudkan ialah Ahmed al-Sharaa, individu yang pernah dikaitkan dengan rangkaian militan al-Qaeda dan pernah ditahan selama beberapa tahun oleh pihak berkuasa AS selepas ditangkap di Iraq.
Dalam satu pertemuan berprofil tinggi di ibu negara Arab Saudi, Trump berjabat tangan dengan Sharaa, yang kini Presiden Interim Syria, di samping Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman.
Turut serta dalam pertemuan itu menerusi sidang video ialah Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.
“Beliau seorang lelaki muda, menarik. Seorang yang keras, berlatar belakang kuat. Seorang pejuang,” kata Trump dalam sidang media selepas pertemuan tersebut.
Kenyataan itu mencetuskan kebimbangan Israel yang menyifatkan Sharaa sebagai ancaman berterusan dan tidak pernah menghentikan operasi ketenteraan terhadap Syria sejak sekian lama.
Ditanya mengenai peluang hubungan normalisasi antara Syria dan Israel, Trump berkata beliau menggesa Ahmad al-Sharaa supaya turut menyertai Abraham Accord, namun Presiden Syria itu belum memberi kata putus lagi.
Dalam kenyataan sama, beliau menyatakan hasrat untuk mencapai perjanjian dengan Iran namun meletakkan syarat yang tegas.
“Iran mesti hentikan penajaan keganasan, akhiri perang proksi berdarah mereka dan hentikan secara kekal serta boleh disahkan terhadap sebarang usaha memiliki senjata nuklear,” tegasnya. – AGENSI