WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyatakan hasrat menamakan semula tarikh 8 Mei dan 11 November sebagai ‘Victory Day’ (Hari Kemenangan) dalam langkah terbaharunya mengubah istilah rasmi dalam sejarah negara itu.
“Saya dengan ini menamakan semula 8 Mei sebagai Hari Kemenangan Perang Dunia Kedua dan 11 November sebagai Hari Kemenangan Perang Dunia Pertama,” kata Trump menerusi hantaran di platform Truth Social.
Hari Kemenangan, yang disambut pada 8 Mei oleh Kesatuan Eropah dan 9 Mei di negara-negara bekas Soviet, menandakan ulang tahun penyerahan tanpa syarat Jerman dalam Perang Dunia Kedua.
Namun, perang di Asia berterusan sehingga Jepun menyerah diri pada awal September 1945, susulan pengeboman atom ke atas Hiroshima dan Nagasaki.
Di AS, 8 Mei tidak diisytiharkan sebagai cuti umum dan sambutannya tidak meluas seperti di Eropah, walaupun sesetengah rakyat memperingatinya.
“Ramai sekutu dan rakan kita menyambut 8 Mei sebagai Hari Kemenangan, tetapi kita telah menyumbang lebih daripada mana-mana negara lain dalam mencapai kemenangan dalam Perang Dunia Kedua,” kata Trump lagi dalam hantaran tersebut.
Tarikh 11 November pada asalnya dinamakan sebagai ‘Hari Gencatan Senjata’ oleh Presiden AS ketika itu, Woodrow Wilson, bagi memperingati tamatnya konflik bersenjata dalam Perang Dunia Pertama pada tahun 1918.
Kini, tarikh itu dikenali sebagai ‘Hari Veteran’ di AS dan disambut sebagai penghormatan kepada bekas anggota tentera negara itu.
“Kita memenangi kedua-dua perang. Tiada siapa yang menghampiri kita dari segi kekuatan, keberanian atau kecemerlangan ketenteraan.
“Tetapi kita tidak pernah meraikan apa-apa kerana kita sudah tiada pemimpin yang tahu caranya. Kita akan mula meraikan kemenangan kita semula,” ujar Trump.
Semasa Perang Dunia Kedua, Kesatuan Soviet (USSR) di mana Russia merupakan republik terbesar menjadi sekutu kepada Britain dan AS dalam menentang Nazi Jerman. USSR juga mencatatkan jumlah korban tertinggi dengan lebih 20 juta kematian.
Setakat ini, tiada perintah eksekutif atau pengisytiharan rasmi dikeluarkan oleh Rumah Putih berkaitan penukaran nama cuti tersebut.
Trump, dalam penggal keduanya, sering mencadangkan perubahan nama terhadap aspek-aspek kehidupan awam AS, termasuk mencadangkan penukaran semula ‘Hari Orang Asal’ kepada ‘Hari Columbus’, serta mencadangkan nama ‘Teluk Mexico’ diganti dengan ‘Teluk Amerika’.