WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengulangi komitmen negaranya untuk membantu menyalurkan bantuan makanan kepada rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.
Namun, Trump enggan mengulas lanjut mengenai rancangan Israel yang mahu melancarkan serangan ‘habis-habisan’ di Gaza.
“Seperti yang diberitahu sebelum ini, AS akan menghantar bekalan makanan dan bantuan asas kepada penduduk Palestin di Gaza,” katanya di Rumah Putih kelmarin.
Terdahulu, Kabinet Keselamatan Israel meluluskan rancangan memperluas operasi ketenteraan termasuk ‘penaklukan’ wilayah Gaza, menurut seorang pegawai kerajaan pada Isnin. Ini berlaku selepas tentera Israel memanggil puluhan ribu anggota simpanan bagi menyertai operasi tersebut.
Situasi itu menambah kebimbangan masyarakat antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan agensi bantuan yang berulang kali memberi amaran tentang bencana kemanusiaan yang semakin parah di Gaza, dengan kebuluran dilaporkan semakin menghampiri berikutan sekatan penuh oleh Israel selama lebih dua bulan.
Pegawai Israel memaklumkan pelan serangan yang diperluas itu akan merangkumi penaklukan Gaza dan penempatan tentera, selain pemindahan penduduk Gaza ke selatan atas faktor keselamatan mereka.
Seorang lagi pegawai keselamatan kananIsrael berkata, komponen utama pelan ini ialah pemindahan berskala besar seluruh penduduk Gaza dari zon konflik ke kawasan di selatan Gaza.
Pelan yang diluluskan kabinet Israel itu juga dilihat sebagai sebahagian daripada usaha negara itu untuk menggalakkan penduduk Palestin meninggalkan Gaza secara sukarela.
Kesatuan Eropah (EU) dalam kenyataannya menyuarakan kebimbangan dan menggesa Israel tidak mengambil langkah yang merugikan, sambil menegaskan pelan tersebut berisiko mengakibatkan lebih banyak korban dan penderitaan kepada rakyat Palestin.
Israel menyambung semula operasi berskala besar di seluruh Gaza sejak 18 Mac lalu, susulan kebuntuan dalam perbincangan gencatan senjata selama dua bulan yang sebelum ini berjaya menghentikan sebahagian besar pertempuran dengan Hamas.
Sejak itu, tentera Israel melancarkan serangan udara besar-besaran serta memperluaskan operasi darat ke seluruh wilayah Palestin.