BANGKOK: Thailand merekodkan kematian pertama akibat jangkitan antraks selepas dua kes disahkan di seluruh negara, sekali gus mencetuskan amaran kesihatan awam apabila pihak berkuasa mengenal pasti ratusan individu mungkin terdedah kepada bakteria berbahaya itu.
Mangsa merupakan seorang lelaki berusia 53 tahun dari wilayah Mukdahan di timur laut Thailand, berhampiran sempadan Laos, yang disahkan meninggal dunia pada Rabu selepas dijangkiti antraks. Kes kedua turut dilaporkan di wilayah sama, manakala tiga lagi kes disyaki sedang disiasat.
Pihak berkuasa kesihatan memaklumkan seramai 638 individu dikenal pasti berisiko terdedah, kebanyakannya selepas memakan daging mentah.
Daripada jumlah itu, 36 orang terlibat dalam aktiviti penyembelihan ternakan, manakala selebihnya dipercayai memakan daging lembu mentah atau kurang masak. Kesemua individu yang terlibat kini sedang menerima rawatan antibiotik sebagai langkah pencegahan.
“Semua individu yang mungkin telah bersentuhan dengan daging tercemar sedang dipantau rapi,” menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Thailand.
Kementerian Pertanian pula memaklumkan bahawa Jabatan Perkhidmatan Haiwan sedang mengendalikan langkah kawalan termasuk mewujudkan zon kuarantin sejauh 5 kilometer dari lokasi jangkitan.
Sebanyak 1,222 ekor lembu dirancang untuk diberi vaksin, meskipun tiada haiwan setakat ini menunjukkan tanda-tanda penyakit atau kematian luar biasa.
Antraks merupakan penyakit jarang berlaku namun serius, berpunca daripada bakteria yang biasanya menjangkiti manusia melalui sentuhan dengan haiwan terjangkit atau pemakanan daging tercemar. Penyakit ini tidak menular daripada manusia ke manusia.
Thailand kali terakhir melaporkan kes antraks dalam kalangan manusia pada tahun 2017 dengan dua jangkitan dilaporkan tanpa sebarang kematian. Pada tahun 2000, sebanyak 15 kes direkodkan, juga tanpa kematian.