Terima pesawat dari Qatar bukan sogokan - Trump

Terima pesawat dari Qatar bukan sogokan – Trump

DONALD TRUMP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Laporan yang mendakwa Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump bakal menerima sebuah pesawat mewah daripada keluarga diraja Qatar mencetuskan gelombang kritikan hebat, apabila pakar etika memberi amaran hadiah itu mungkin melanggar Perlembagaan negara ini.

Pelbagai hadiah lain seperti pakaian, barangan antik, dan haiwan turut diberikan kepada presiden-presiden AS terdahulu namun, lazimnya hadiah-hadiah ini tidak boleh disimpan secara peribadi dan perlu melalui proses dokumentasi dan pelupusan rasmi oleh Unit Hadiah Rumah Putih serta dipindahkan ke Arkib Negara atau perpustakaan presiden.

Perlembagaan AS melalui Klausa Emolumen melarang mana-mana pemegang jawatan awam menerima hadiah daripada mana-mana raja, putera, atau negara asing tanpa kelulusan Kongres.

Dalam kes Trump, pentadbirannya berpendapat beliau boleh menyimpan pesawat mewah tersebut kerana ia kononnya akan dipindahkan ke perpustakaan presidennya selepas tamat penggal kedua kelak.

Menurut sumber, pentadbiran Trump merumuskan hadiah itu tidak disertai dengan sebarang syarat rasmi, dan oleh itu, tidak dikira sebagai sogokan.

Mengikut undang-undang AS, mana-mana hadiah daripada pihak asing yang bernilai kurang daripada AS$480 (RM 2,077) boleh disimpan oleh pegawai persekutuan.

Jika melebihi jumlah tersebut, ia dikira sebagai milik ‘rakyat AS’ dan perlu direkod serta dilupuskan mengikut prosedur ditetapkan namun, kontroversi mula tercetus apabila Jawatankuasa

Pemantauan Dewan Rakyat AS mendedahkan sebanyak 100 hadiah daripada negara asing yang diterima Trump semasa penggal pertamanya didapati hilang kerana tidak direkod secara rasmi.

Antara hadiah yang hilang termasuk lukisan bersaiz sebenar oleh Presiden El Salvador dan set kayu golf daripada Perdana Menteri Jepun yang dianggarkan bernilai lebih AS$250,000 (RM1 juta)

Terkini, The New York Times melaporkan pesawat Boeing dianggarkan bernilai AS$400 juta (RM4.3 bilion) berkemungkinan menjadi hadiah paling mahal daripada kerajaan asing dalam sejarah AS yang ditawarkan kepada Trump.

Pesawat tersebut dirancang digunakan sebagai pesawat rasmi Air Force One sehinggalah hampir tamat penggal keduanya, sebelum diserahkan kepada yayasan perpustakaan presidennya.

Bagaimanapun, Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt dalam satu kenyataan menegaskan sebarang hadiah daripada kerajaan asing sentiasa diterima mengikut undang-undang yang berkuat kuasa dan pentadbiran Trump komited kepada ketelusan sepenuhnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN