Suhu di Tanah Suci dijangka cecah 50 darjah Celsius, jemaah diingat berjaga-jaga

Suhu di Tanah Suci dijangka cecah 50 darjah Celsius, jemaah diingat berjaga-jaga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Pihak berkuasa Arab Saudi menjangkakan suhu semasa di Mekah boleh mencecah antara 45 hingga 50 darjah Celsius, sekali gus boleh mencetuskan risiko kesihatan kepada para jemaah.

“Tahun ini cuaca dijangka sangat panas dan kering. Suhu boleh mencecah melebihi 45 darjah Celsius dan di Madinah, setakat ini sudah mencecah 41 darjah Celsius.

“Kita harus bersedia dari segi mental dan fizikal,” kata Kementerian Haji Saudi dalam kenyataan.

Susulan musim haji 2025 semakin hampir, jutaan jemaah dari seluruh dunia dijangka berkumpul di Tanah Suci dalam suasana yang penuh barakah, namun kali ini dengan cabaran kesihatan yang serius.

Pada musim haji 2024, lebih 1,300 jemaah dilaporkan meninggal dunia, kebanyakannya akibat strok haba dan dehidrasi.

Suhu pada ketika itu mencecah 51.6 darjah Celsius, menjadikan 2024 antara musim haji paling panas dalam sejarah moden.

Keadaan itu turut diburukkan dengan kehadiran jemaah tanpa permit rasmi, yang terpaksa menunaikan haji dalam keadaan tidak selesa dan tanpa kemudahan asas.

Pakar perubatan dari Pusat Penyelidikan Perubatan Antarabangsa Raja Abdullah, Dr Abderrezak Bouchama, berkata beliau percaya pihak berkuasa Arab Saudi akan lebih tegas kali ini dalam menangani kemasukan jemaah tidak sah dan menambah baik langkah mitigasi haba.

“Penggunaan ruang berhawa dingin berhampiran Kaabah, lorong penyejuk hawa di Safa dan Marwah, serta sistem pancuran kabus telah pun membantu, tetapi belum cukup untuk menangani risiko keseluruhan.

“Bagi jemaah, minum air secara berterusan adalah kunci utama untuk mengelakkan strok haba tetapi hakikatnya kita juga perlu keluar daripada kawasan panas.

“Penyejukan aktif seperti rehat di ruang berhawa dingin, menggunakan payung dan menyiram kepala dengan air sejuk dapat menyelamatkan nyawa,” katanya.

Langkah praktikal yang disarankan kepada jemaah termasuk membawa botol air sepanjang masa dan minum secara berkala dan mengelakkan kegiatan berat antara 11 pagi dengan 3 petang.

Mereka juga disyor menggunakan pelitup muka dan pakaian berwarna cerah dan longgar serta mendapatkan rehat berkala di kawasan teduh atau berhawa dingin selain mengelakkan makanan berat yang tinggi garam dan lemak.

Jemaah juga harus peka terhadap gejala awal strok haba seperti pening atau sakit kepala yang teruk, loya dan muntah, kulit panas, kering serta kemerahan selain mengelakkan degupan jantung laju sehingga pengsan atau tidak sedarkan diri.

Sekiranya mengalami gejala tersebut, jemaah dinasihatkan segera mencari tempat teduh, membasahkan badan dengan air sejuk dan minum air dengan segera sebelum menghubungi pasukan perubatan atau relawan haji.

Jemaah juga digalakkan guna alat pelindung diri seperti payung, cermin mata hitam, topi atau kain penutup kepala, yang amat membantu mengurangkan pendedahan kepada sinaran terik matahari.

Jemaah turut dinasihatkan menyesuaikan ibadah dengan kemampuan diri, elakkan berasak-asak dan ambil masa untuk berehat serta ketahui suhu semasa dan atur ibadah pada waktu yang lebih selamat.

“Jemaah harus memahami bahawa cuaca kini bukan seperti dahulu. Kita perlu menyesuaikan cara kita beribadah demi keselamatan dan keberkatan ibadah itu sendiri,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN