FERRARA: Seorang wanita berusia 70 tahun cemas apabila ditinggalkan suaminya di tepi jalan berhampiran bandar Ferrara, Itali selama dua jam, selepas lelaki itu tidak menyedari dia telah keluar dari kenderaan semasa mereka berhenti di bahu jalan.
Pasangan warga emas itu dalam perjalanan menaiki sebuah van kemping di Lebuh Raya Strada Statale 309 Romea, apabila pemandu, iaitu si suami, berhenti kira-kira pukul 8.30 malam waktu tempatan kerana menghadapi masalah teknikal pada kenderaan tersebut.
Si isteri sedang tidur di bahagian belakang ketika kejadian berlaku namun, tanpa pengetahuan suaminya, wanita itu terjaga dan keluar dari van sewaktu lelaki berkenaan memeriksa kenderaan.
Setelah masalah dikenal pasti, lelaki itu terus memandu semula tanpa menyedari isterinya tidak berada dalam van.
Menurut laporan media tempatan, wanita itu yang hanya berpakaian gaun tidur dan berselipar menjerit meminta tolong di tepi jalan, namun tidak didengari suaminya yang telah memecut jauh ke depan.
Wanita berkenaan yang tidak membawa telefon bimbit atau sebarang dokumen pengenalan diri kemudian dibantu oleh beberapa pemandu yang berhenti sebelum pihak polis dihubungi.
Pihak berkuasa kemudiannya membantu mengumpul maklumat bagi mengesan lokasi lelaki berkenaan yang ketika itu masih menyangka isterinya sedang nyenyak tidur di bahagian belakang kenderaan.
Kira-kira dua jam kemudian, iaitu pada pukul 10.30 malam, si suami akhirnya dikesan dan diberitahu mengenai kejadian sebenar.
Terkejut dan panik, lelaki itu segera berpatah balik ke Porto Garibaldi di mana isterinya sedang menunggu dalam jagaan pihak polis.