TOKYO: Perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi Jepun, Shinkansen, mencatat lonjakan jumlah penumpang didorong kemasukan pelancong asing yang memecah rekod serta penganjuran Ekspo Dunia di Osaka.
Tumpuan utama ialah laluan Tokaido Shinkansen yang menghubungkan Tokyo dan Osaka, laluan tren laju tertua di dunia dan kekal sebagai antara yang paling sibuk.
Sepanjang musim cuti Golden Week dari 25 April hingga 6 Mei lalu, jumlah penumpang bagi laluan tersebut meningkat sebanyak lima peratus berbanding tahun lalu, dengan hampir 4.4 juta orang direkodkan menggunakan perkhidmatan itu.
Lonjakan tersebut tidak terhad kepada musim cuti sahaja, bahkan turut berlaku pada hari-hari biasa selaras peningkatan mendadak dalam sektor pelancongan antarabangsa.
Pada tahun 2023, seramai 158 juta penumpang menggunakan perkhidmatan Tokaido Shinkansen, lebih dua kali ganda berbanding hanya 64 juta penumpang yang direkodkan pada tahun 2020 ketika pandemik Covid-19.
Bagaimanapun, Shinkansen yang kini berusia lebih 60 tahun berdepan cabaran penyelenggaraan infrastruktur lama, sekali gus memerlukan pembaharuan menyeluruh bagi menampung permintaan yang semakin meningkat.
Syarikat Central Japan Railway (JR Central), pengendali utama Tokaido Shinkansen, kini giat meneroka teknologi terkini termasuk kecerdasan buatan (AI) dan robotik bagi meningkatkan kecekapan sistem.
“Kami sedang mempertimbangkan pelbagai teknologi mutakhir yang muncul saban hari untuk diterapkan dalam sistem Shinkansen kami,” kata Pengurus Besar Perancangan Teknologi JR Central, Tomoyuki Minami.