Serpihan kapal angkasa era Soviet dijangka jatuh ke bumi minggu ini

Serpihan kapal angkasa era Soviet dijangka jatuh ke bumi minggu ini

PAKAR menjangkakan serpihan seberat hampir setengah tan itu akan memasuki atmosfera bumi antara 8 hingga 14 Mei ini. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Serpihan kapal angkasa era Soviet, yang dilancarkan lebih lima dekad lalu, dijangka jatuh semula ke bumi dalam minggu ini.

Serpihan itu merupakan modul pendaratan milik Kosmos 482 yang dilancarkan pada tahun 1972 sebagai sebahagian daripada misi ke planet Zuhrah (Venus), namun gagal meninggalkan orbit bumi ekoran masalah teknikal.

Menurut laporan BBC News Russia, pakar menjangkakan serpihan seberat hampir setengah tan itu akan memasuki atmosfera bumi antara 8 hingga 14 Mei 2025, dengan beberapa kawasan termasuk Asia Barat, Asia Tengah dan Eropah Tenggara berada dalam laluan orbitnya.

Pakar angkasa, Georgy Trishkin, menjelaskan serpihan tersebut berkemungkinan besar akan jatuh di kawasan daratan, termasuk negara seperti Mesir, Syria, Turkiye dan Azerbaijan.

“Jika modul tersebut jatuh ke tanah pada kelajuan sekitar 242 kilometer sejam, impaknya boleh mencapai tenaga sekitar 1.1 hingga 1.2 megajoule, bersamaan dengan letupan beberapa ratus gram bahan letupan TNT,” katanya.

Kosmos 482 pada asalnya merupakan pesawat sandaran kepada Venera 8, yang berjaya menjejak ke Venus dan menyelesaikan misinya.

Bagaimanapun, Kosmos 482 mengalami kegagalan pada peringkat terakhir pelancaran apabila sistem pendorongnya tidak berfungsi dengan baik, menyebabkan kapal angkasa tersebut terperangkap di orbit bumi.

Kapal angkasa itu terpecah kepada empat bahagian di mana dua daripadanya terbakar di atmosfera dalam masa 48 jam, manakala selebihnya termasuk modul pendaratan dan blok pendorong utama terus mengorbit pada altitud tinggi.

Menurut NASA, modul pendaratan tersebut mempunyai berat sekitar 495 kilogram dan dibina untuk menahan tekanan ekstrem di Zuhrah, menjadikan ia sangat berdaya tahan serta berkemungkinan tidak musnah sepenuhnya apabila memasuki atmosfera bumi.

Sementara itu, tiada pengesahan rasmi diberikan mengenai lokasi sebenar ia akan terhempas, namun pihak berkuasa antarabangsa terus memantau pergerakan objek tersebut bagi mengurangkan sebarang risiko terhadap penduduk awam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN