SANAA: Majlis Kepimpinan Presiden (PLC) Yemen melantik Menteri Kewangan, Salem Saleh Braik sebagai Perdana menteri baharu negara itu susulan peletakan jawatan, Ahmed Awad Mubarak.
Salem Saleh memegang jawatan Menteri Kewangan sejak 2019 dan sebelum itu berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Kewangan.
Beliau juga pernah menyandang beberapa jawatan penting dalam sektor kewangan dan pentadbiran sepanjang kerjayanya.
Kenyataan rasmi turut memaklumkan semua menteri sedia ada akan kekal dalam portfolio masing-masing, manakala Ahmed Awad akan dilantik sebagai penasihat kepada Presiden PLC.
Semalam, Ahmed Awad mengumumkan peletakan jawatannya selepas mendakwa berdepan halangan berterusan yang menyekat beliau daripada melaksanakan kuasa perlembagaan sebagai ketua kerajaan.
“Saya mendoakan kejayaan buat pengganti saya dan menyeru semua pihak untuk memberikan sokongan padu kepada beliau dalam menjalankan tugas di saat getir yang sedang dihadapi negara kita,” tambahnya.
Ahmed Awad menjelaskan beliau menghadapi pelbagai cabaran sepanjang tempoh perkhidmatannya, terutamanya apabila tidak dibenarkan melaksanakan keputusan penting demi pembaharuan institusi negara serta kegagalan melakukan rombakan Kabinet yang telah lama dirancang.
Meskipun berdepan sekatan, beliau berkata, pentadbirannya mencapai kemajuan ketara dalam tempoh singkat, khususnya aspek pembaharuan kewangan dan pentadbiran serta usaha membanteras rasuah.
Peletakan jawatan itu berlaku ketika Yemen berdepan krisis ekonomi yang semakin parah dengan mata wangnya mencatat kejatuhan mendadak, sekali gus menambah penderitaan rakyat yang digambarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai antara krisis kemanusiaan terburuk di dunia.
Kerajaan Yemen memaklumkan mereka kini berdepan kekurangan dana yang serius susulan penghentian eksport minyak sejak Oktober 2022 berikutan serangan puak Houthi ke atas kemudahannya.
Puak Houthi mengaitkan penyambungan semula eksport minyak dengan persetujuan mengenai pengagihan hasil dan penggunaannya bagi membayar gaji penjawat awam di seluruh negara.
Yemen terjebak dalam konflik sejak 2014 apabila puak Houthi yang disokong Iran merampas ibu kota Sanaa serta sebahagian besar wilayah daripada kerajaan yang diiktiraf antarabangsa.-AGENSI