WASHINGTON: Sebarang perjanjian antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran harus merangkumi larangan terhadap aktiviti pengayaan uranium, tegas utusan khas AS, Steve Witkoff pada Ahad.
Witkoff, dalam satu temu bual yang disiarkan dalam program ‘This Week’ terbitan ABC mengulangi pendirian Presiden Donald Trump berhubung pengayaan uranium yang menjadi satu isu utama dalam perbincangan nuklear antara kedua-dua negara.
“Kami menetapkan satu garis merah yang sangat jelas iaitu pengayaan uranium. Kami tidak boleh membenarkan walaupun satu peratus keupayaan pengayaan,” kata Witkoff menerusi kenyataan yang mencetuskan reaksi balas pantas dari Tehran, menurut laporan Reuters.
Menurut beliau, dari sudut pandang pentadbiran Trump segala-galanya bermula dengan satu perjanjian yang tidak merangkumi sebarang bentuk pengayaan.
“Kami tidak boleh benarkan perkara itu berlaku kerana pengayaan membawa kepada keupayaan persenjataan nuklear. Dan kami tidak akan membenarkan bom itu sampai ke sini,” tegasnya.
Kenyataan Witkoff itu segera dibidas oleh Iran
“Jangkaan tidak realistik hanya akan menggagalkan rundingan. Pengayaan di Iran bukan sesuatu yang boleh dihentikan,” kata Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi seperti yang dilaporkan oleh agensi berita separa rasmi Tasnim.
Araqchi turut mengkritik Witkoff dengan menyatakan beliau jauh dari realiti rundingan dan menambah bahawa aktiviti pengayaan akan diteruskan.
Walaupun begitu, Witkoff kekal optimis terhadap rundingan dan menjangkakan perbincangan akan bersambung di Eropah minggu ini.
Araqchi pula memaklumkan bahawa tarikh dan lokasi bagi pusingan rundingan seterusnya akan diumumkan dalam masa terdekat.-AGENSI