MUSCAT: Rundingan yang dijadualkan berlangsung hari ini antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) mengenai program nuklear Teheran ditangguhkan atas sebab logistik, umum Menteri Luar Oman, Badr Al-Busaidi, pada Khamis.
“Atas sebab logistik, pertemuan AS-Iran yang dijadualkan pada Sabtu, 3 Mei ini ditunda. Tarikh baharu akan diumumkan selepas dipersetujui kedua-dua pihak,” katanya dalam kenyataan ringkas menerusi platform media sosial X.
Beliau yang menjadi perantara bagi tiga pusingan rundingan sebelum ini tidak memberikan butiran lanjut mengenai penangguhan tersebut.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmail Baghaei, dalam satu kenyataan berkata, penangguhan itu dibuat atas permintaan Al-Busaidi sambil menegaskan Iran kekal komited untuk mencapai ‘perjanjian yang adil dan berkekalan’.
Sumber rapat pasukan perunding AS berkata, Washington tidak pernah mengesahkan penyertaan dalam pusingan keempat yang dijangka berlangsung di Rom, namun menjangkakan rundingan akan tetap berlangsung dalam masa terdekat.
Rundingan antara Iran dan AS bertujuan mengehadkan program nuklear Teheran sebagai balasan kepada pengurangan sekatan ekonomi yang dikenakan oleh Washington terhadap Republik Islam itu yang kini telah berlarutan hampir setengah abad.
Delegasi Iran diketuai Menteri Luar Abbas Araghchi, manakala AS diwakili oleh utusan Timur Tengah, Steve Witkoff.
Presiden AS, Donald Trump, sebelum ini beberapa kali mengancam melancarkan serangan udara terhadap infrastruktur nuklear Iran sekiranya perjanjian gagal dicapai.
Pegawai Iran pula memberi amaran menghasilkan senjata nuklear berikutan simpanan uranium negara itu semakin hampir ke tahap gred senjata.