Ratusan penerbangan di Lapangan Terbang Paris-Orly dibatalkan akibat gangguan sistem - Utusan Malaysia

Ratusan penerbangan di Lapangan Terbang Paris-Orly dibatalkan akibat gangguan sistem

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ORLY: Gangguan sistem kawalan trafik udara di Lapangan Terbang Paris-Orly menyebabkan ratusan penerbangan dibatalkan dan ditunda selain Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Perancis (DGAC) mengesahkan situasi itu berlanjutan hingga Isnin.

Gangguan yang berlaku semalam menjejaskan ribuan penumpang termasuk mereka yang sudah berada di dalam pesawat di lapangan terbang kedua terbesar di ibu negara Perancis ketika penerbangan dibatalkan secara tiba-tiba.

Menurut pihak berkuasa, sebanyak 130 penerbangan masuk dan keluar dari Orly dibatalkan pada Ahad akibat kerosakan di menara kawalan trafik udara namun masalah itu masih belum diselesaikan sehingga lewat malam Ahad.

DGAC dalam kenyataan berkata, pihaknya telah mengarahkan syarikat penerbangan untuk mengurangkan jadual penerbangan sebanyak 15 peratus pada Isnin sambil memberi amaran bahawa kelewatan penerbangan dijangka terus berlaku.

“Situasi semakin pulih, namun masih memerlukan kawalan pergerakan trafik udara,” menurut DGAC.

Punca gangguan itu dikaitkan dengan kerosakan sistem kawalan trafik udara, menurut pihak berkuasa, manakala satu sumber di lapangan terbang menyebut ia berpunca daripada kegagalan radar.

Penerbangan ke destinasi dalam Eropah, Afrika Utara dan beberapa lokasi domestik Perancis antara yang terjejas. Suasana kelam-kabut turut menyaksikan barisan panjang terbentuk di terminal ketika penumpang bergegas mencari alternatif pengangkutan.

“Kami sudah berada di dalam pesawat, semua telah duduk dan memakai tali pinggang keledar, bersedia untuk berlepas, tetapi mereka arahkan kami turun dan ambil semula bagasi, dari situ bermulalah penderitaan,” kata Azgal Abichou, 63, seorang usahawan.

Agnes Zilouri, 46, pula berusaha mendapatkan tempat duduk untuk ibunya yang berusia 86 tahun dan anak lelakinya berumur enam tahun. Mereka sepatutnya menaiki penerbangan ke Oujda, Maghribi, pada Ahad malam bagi menghadiri satu majlis pengebumian.

“Penerbangan dibatalkan. Mujur saya bersama ibu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN