Rangka manusia berusia 1,000 tahun terbiar di bawah plastik - Utusan Malaysia

Rangka manusia berusia 1,000 tahun terbiar di bawah plastik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

VADNAGAR: Satu rangka manusia berusia kira-kira 1,000 tahun yang ditemui dalam posisi duduk bersila di Vadnagar, Gujarat, India masih belum mendapat tempat di muzium, meskipun enam tahun telah berlalu sejak ia digali oleh sekumpulan ahli arkeologi.

Penemuan yang dianggap amat penting itu dilakukan oleh ahli arkeologi, Abhijit Ambekar pada tahun 2019 ketika beliau dan pasukannya menjalankan kerja-kerja ekskavasi di barat negeri Gujarat di mana beliau terserempak dengan bahagian atas tengkorak manusia sebelum menemui rangka lengkap dalam sebuah lubang, yang dipercayai berada dalam posisi seperti bertafakur.

Rangka itu disyaki berasal dari zaman pemerintahan Dinasti Solanki yang mentadbir wilayah Gujarat antara tahun 940 hingga 1300 Masihi namun, sehingga kini, isu birokrasi dan pertikaian antara pihak berkaitan menyebabkan rangka bersejarah tersebut masih belum dipamerkan secara rasmi di mana-mana muzium.

Rangka itu kini hanya ditempatkan di bawah khemah plastik di kawasan terbuka, tidak jauh daripada Muzium Arkeologi Baharu Vadnagar yang dibina dengan kos AS$35 juta (RM166 juta), dan telah dirasmikan oleh Menteri Dalam Negeri India pada Januari lalu.

Meskipun muzium itu mempamerkan lebih 5,000 artifak termasuk foto besar rangka berkenaan, ia tidak menempatkan rangka asli yang menjadi antara penemuan paling unik di kawasan itu.

Menurut Ambekar yang mengetuai cawangan Jabatan Kajian Arkeologi India (ASI) di Mumbai, proses ekskavasi mengambil masa dua bulan dan melibatkan kaedah berhati-hati termasuk penggunaan bahan kimia bagi mengekalkan keadaan struktur tanah serta rangka tersebut.

“Rangka ini sangat bernilai, bukan sahaja kepada Vadnagar tetapi untuk seluruh India. Ia mampu memberi gambaran tentang kehidupan nenek moyang kita dan pelbagai rahsia masa lalu yang belum terungkai,” katanya.

Sementara itu, kerajaan negeri Gujarat menyatakan rangka itu masih berada dalam simpanan ASI kerana didakwa proses pemindahan tidak mengikut prosedur yang betul.

Bagaimanapun, Ambekar berkata lebih 9,000 artifak lain dari ekskavasi Vadnagar antara tahun 2016 hingga 2022 diserahkan kepada kerajaan negeri dan diletakkan di muzium kecuali rangka tersebut.

Ketika ini, tiada pengawal keselamatan ditugaskan dan tiada sistem pengawalan suhu serta kelembapan, menjadikan rangka terdedah kepada ancaman alam sekitar serta gangguan manusia. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya