SPRINGFIELD: Polis terkejut apabila seekor rakun peliharaan ditemukan sedang memegang sebatang paip yang digunakan untuk mengambil dadah jenis jenis methamphetamine (meth) di tempat duduk pemandu semasa pemeriksaan rutin trafik dijalankan baru-baru ini di Springfield, Ohio.
Kejadian luar biasa itu dirakam menerusi kamera badan milik Pegawai Polis Perbandaran Springfield, Austin Branham, yang pada mulanya menahan sebuah kenderaan dipandu seorang wanita kerana memandu tanpa lesen sah serta mempunyai waran tangkap aktif.
Semasa wanita berkenaan ditahan, rakaman menunjukkan seekor rakun bernama Chewy memanjat ke tempat duduk pemandu sambil bermain dengan paip meth milik wanita tersebut.
Pegawai Branham kedengaran tergelak sebelum berkata rakun itu pegang paip meth dia dan tengah bermain dengannya.
Rakaman turut memaparkan pegawai berkenaan berkata binatang tersebut cuba hisap paip meth tu, sebelum merampasnya dan meminta rakan setugas mengawasi penumpang dalam kenderaan itu.
Menurut kenyataan rasmi Polis Perbandaran Springfield, pemeriksaan dibuat kira-kira pukul 7.15 malam waktu tempatan pada Isnin lalu.
“Haiwan tersebut, seekor rakun bernama Chewy, dipercayai telah mendapat akses kepada paip meth kaca, menyebabkan pegawai melakukan pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan terbabit,” kata jurucakap pasukan berkenaan.
Hasil carian menemui sejumlah besar methamphetamine, kokain jenis ‘crack’, serta tiga paip kaca digunakan, kata pihak polis.
Susulan itu, pemandu wanita dikenali sebagai Victoria Vidal, 55, dituduh memiliki dadah, tiga pertuduhan memiliki peralatan penggunaan dadah, serta disaman kerana memandu semasa lesen digantung.
Dia turut diserahkan kepada Polis Cuyahoga Falls berkaitan waran tangkap aktif terhadapnya.
“Walaupun pegawai kami terlatih untuk menghadapi sebarang kemungkinan, ini kali pertama kami menemui rakun memegang paip meth! Tiada haiwan cedera dalam insiden ini. Kami kekal komited dalam memastikan keselamatan komuniti walau apa jua kejutan yang menanti,” kata jurucakap itu.
Media tempatan melaporkan pemilikan rakun sebagai haiwan peliharaan adalah dibenarkan di Ohio, selagi pemilik mempunyai permit sah daripada pihak berkuasa. -AGENSI