Putin mahu rundingan tanpa syarat dengan Ukraine 15 Mei ini

Putin mahu rundingan tanpa syarat dengan Ukraine 15 Mei ini

VLADIMIR PUTIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Presiden Russia, Vladimir Putin mencadangkan rundingan langsung dengan Ukraine diadakan semula di Istanbul pada 15 Mei tanpa sebarang prasyarat.

Tawaran yang dibuat Putin itu sebagai reaksi terhadap desakan Ukraine dan sekutunya agar Moscow bersetuju dengan gencatan senjata tanpa syarat selama 30 hari atau berdepan sekatan tambahan.

Putin merujuk kepada rundingan damai yang gagal pada Mac 2022 di Istanbul yang berlangsung tidak lama selepas pencerobohan berskala besar Russia ke atas Ukraine. Dalam kenyataan kepada media awal pagi Ahad, beliau mencadangkan rundingan itu disambung semula tanpa sebarang prasyarat.

“Kami komited untuk menjalankan rundingan serius dengan Ukraine,” kata Putin sambil menambah beliau tidak menolak kemungkinan bersetuju dengan gencatan senjata dalam kerangka rundingan langsung bersama Ukraine.

Cadangan Putin itu hadir selepas pemimpin empat negara utama Eropah memberi amaran akan meningkatkan tekanan terhadap Moscow sekiranya menolak tawaran gencatan senjata 30 hari tanpa syarat yang dikemukakan pada Sabtu sebagai tanda sokongan teguh terhadap Kyiv.

Pemimpin Perancis, United Kingdom, Jerman dan Poland menyatakan bahawa tawaran gencatan senjata yang dijadual bermula Isnin itu turut disokong oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang telah dimaklumkan melalui perbualan telefon pada hari sama.

Trump sebelum ini menyeru agar Ukraine dan Russia mengadakan rundingan pada peringkat tertinggi dan menyatakan bahawa kedua-dua pihak kini sangat hampir mencapai perjanjian bagi menamatkan perang berdarah yang telah berlarutan selama tiga tahun itu.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky sebelum ini menyatakan kesediaannya untuk menyertai rundingan damai namun hanya selepas satu gencatan senjata dilaksanakan terlebih dahulu.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron berkata, AS akan mengetuai pemantauan terhadap pelaksanaan gencatan senjata yang dicadangkan itu dengan sokongan negara-negara Eropah.

Beliau turut memberi amaran bahawa sekatan berskala besar yang telah disediakan dan diselaraskan antara Eropah dan AS akan dikenakan sekiranya Russia melanggar perjanjian tersebut.

Macron ke Kyiv bersama-sama Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, Canselor Jerman, Friedrich Merz, dan Perdana Menteri Poland, Donald Tusk.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN