MONTEVIDEO: Bekas Presiden Uruguay, Jose Mujica yang dikenali di seluruh dunia sebagai pemimpin yang sederhana dan berjiwa rakyat meninggal dunia pada usia 89 tahun akibat kanser esofagus.
Mendiang Mujica yang pernah menjadi pejuang gerila kumpulan Tupamaros pada era 1960-an, menghabiskan hampir 14 tahun dalam penjara, termasuk dalam tahanan bersendirian, sebelum dibebaskan pada 1985 apabila demokrasi dipulihkan di Uruguay.
Beliau kemudian menyertai politik arus perdana dan dipilih sebagai Presiden Uruguay dari 2010 hingga 2015.
Sepanjang pentadbirannya, Mujica melaksanakan pelbagai reformasi progresif termasuk pengesahan perkahwinan sejenis, pengguguran kandungan dan pengawalseliaan ganja.
Beliau juga mempromosikan tenaga boleh diperbaharui dan pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Dikenali sebagai “Presiden termiskin di dunia”, Mujica menolak kemewahan jawatan presiden, memilih untuk tinggal di rumah ladang kecil bersama isterinya, Lucía Topolansky, dan memandu kereta Volkswagen Beetle tahun 1987.
Beliau juga menyumbang sebahagian besar gajinya kepada badan amal.
Sementara itu, Presiden Uruguay, Yamandú Orsi mengumumkan pemergian Mujica melalui media sosial danm menyatakan penghargaan atas sumbangan beliau kepada negara dan rakyat.
Mujica disahkan menghidap kanser esofagus pada April 2024 dan memilih untuk tidak meneruskan rawatan lanjut apabila penyakit itu merebak ke hati.
Mendiang menghembuskan nafas terakhir di rumah ladangnya di Rincón del Cerro, pinggir bandar Montevideo dikelilingi oleh keluarga dan rakan-rakan terdekat.