Perang Ukraine, Gaza ancam nilai teras NATO

Perang Ukraine, Gaza ancam nilai teras NATO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Antalya: Turkiye memberi amaran nilai-nilai teras yang menjadi asas Perikatan Atlantik Utara (NATO) khususnya keamanan dan kestabilan kini berdepan ancaman yang belum pernah berlaku sebelum ini, terutamanya di wilayah bergolak seperti Ukraine dan Gaza.

Dalam ucapan pembukaan semasa majlis makan malam rasmi yang diadakan di Antalya sempena mesyuarat tidak rasmi para menteri luar NATO, Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan menegaskan ancaman terhadap prinsip-prinsip utama NATO semakin meningkat di tengah-tengah cabaran global yang kompleks.

Hakan yang menyifatkan NATO sebagai perikatan paling berjaya dalam sejarah manusia menekankan, kekuatan badan itu bukan sahaja terletak pada keupayaan ketenteraan, tetapi juga pada asas nilai, prinsip, dan idea bersama yang dipegang oleh negara-negara anggotanya.

“Nilai-nilai teras seperti keamanan dan kestabilan yang diperjuangkan oleh NATO kini berada dalam bahaya besar, terutama di Ukraine dan Gaza.

“Kuasa sebenar NATO datang daripada perpaduan nilai bersama kita, ia lebih daripada sekadar kekuatan tentera,” jelasnya.

Beliau turut mengingatkan dunia kini berhadapan dengan cabaran hibrid dan ancaman keganasan yang menguji ketahanan demokrasi global.

Dalam menghadapi situasi ini, beliau menegaskan, perpaduan dan solidariti antara negara anggota merupakan aset paling berharga yang harus dijaga.

“Dalam menghadapi cabaran ini, kelebihan terbesar kita tetap pada kesatuan dan semangat setiakawan,” katanya dipetik Anadolu.

Fidan turut memaklumkan mesyuarat pada Khamis akan menjadi medan perbincangan intensif menjelang Sidang Kemuncak NATO yang dijadualkan berlangsung di The Hague pada Jun.

Dalam ucapannya, beliau turut menggesa negara anggota agar bersatu dalam matlamat dan komitmen, walaupun terdapat perbezaan pendapat.

“Ini termasuk pembahagian tanggungjawab yang adil antara Eropah dan Amerika, kerjasama tanpa had dalam industri pertahanan, serta pelaburan dalam inovasi demi pertahanan kolektif masa depan.

“Beberapa langkah ini memerlukan keputusan yang sukar dan berani daripada kerajaan negara anggota, terutama dalam dunia yang semakin mencabar,” katanya.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan di sesetengah negara apabila keselamatan sering dianggap sesuatu yang sudah terjamin, menyebabkan mereka enggan untuk menyesuaikan diri dengan keperluan keselamatan yang semakin kompleks.

“Kita perlu menjelaskan kepada rakyat betapa besarnya ancaman yang kita hadapi dengan cara yang jelas tetapi tidak menakutkan. Rakyat perlu diyakinkan bahawa mereka tidak bersendirian dalam menghadapi cabaran ini,” tegasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN