PARIS: Polis Perancis giat menyiasat siri penculikan melibatkan para pelabur mata wang kripto, selepas seorang lelaki berusia 60 tahun menjadi mangsa terbaharu dengan satu jarinya dipotong oleh penculik yang menuntut wang tebusan daripada anaknya.
Mangsa, yang mengendalikan syarikat pemasaran kripto bersama anaknya di Malta, diculik secara terbuka pada pukul 10.30 pagi waktu tempatan Khamis lalu di daerah ke-14 Paris oleh empat lelaki bertopeng ski yang memaksanya masuk ke dalam sebuah van penghantaran.
Mangsa kemudiannya diselamatkan oleh pasukan polis bersenjata dalam satu serbuan di sebuah rumah kira-kira 20 kilometer di selatan ibu negara itu pada pukul 9 malam Sabtu lalu, selepas lebih dua hari dijadikan tebusan.
Menurut pihak pendakwa raya, penculikan itu berkait rapat dengan tuntutan wang tebusan yang didakwa berpunca daripada kekayaan anak lelaki mangsa dalam dunia kripto.
“Mangsa dipercayai bapa kepada seorang individu yang meraih kekayaan melalui mata wang kripto. Jenayah ini melibatkan tuntutan wang tebusan,” jelas kenyataan rasmi.
Media tempatan Le Parisien melaporkan, para penculik menuntut wang tebusan antara lima hingga tujuh juta euro (RM25 hingga RM36 juta), namun ia tidak dibayar.
Lima suspek berusia antara 20 hingga 27 tahun ditahan dalam serbuan itu dan masih disoal siasat pihak berkuasa sehingga semalam sekaligus menambah kepada rentetan kes penculikan melibatkan tokoh-tokoh dunia kripto di Perancis dan negara-negara jiran.
Pada 21 Januari lalu, pengasas bersama syarikat kripto Ledger yang dianggarkan bernilai lebih AS$1 bilion (RM4.8 bilion), David Balland, turut menjadi mangsa penculikan di kediamannya di Méreau, tengah Perancis menyaksika dia serta pasangannya diculik, dipisahkan, dan kemudian dibawa ke sebuah rumah di Châteauroux, dengan satu jarinya dipotong.
Rakannya menerima video jari mangsa bersama tuntutan wang tebusan dalam bentuk kripto berjumlah sekitar 10 juta euro (RM52 juta) sebelum diselamatkan oleh polis, manakala pasangannya ditemui terikat dalam but sebuah kereta di kawasan letak kereta di Essonne keesokan harinya.
Kes penculikan berkaitan kripto turut dilaporkan di Sepanyol dan Belgium dalam tempoh lima bulan kebelakangan ini.