MADIUN: Setelah menanti selama hampir dua dekad, sepasang suami isteri dari Kota Madiun, Indonesia, akhirnya bakal menjejakkan kaki ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah haji hasil daripada usaha menabung selama 17 tahun.
Ujud Pranoto, 61, yang bekerja sebagai penjaga tempat letak kereta bersama isterinya, Sariyati, 50, yang menjalankan perniagaan kedai kecil, bertekad melaksanakan rukun Islam kelima itu sejak tahun 2008.
“Setiap hari kami cuba simpan sedikit demi sedikit. Sasaran kami 50,000 rupiah (RM 15) sehari. Alhamdulillah pada 2012, kami berjaya mendaftar haji,” kata Ujud yang berasal dari Lamongan, Jawa Timur.
Pasangan itu dijadualkan berangkat ke Mekah pada 16 Mei ini selepas penantian panjang yang tertangguh akibat pandemik Covid-19.
Ujud yang kini bertugas sebagai penjaga tempat letak kereta di Jalan Sumatera, Madiun, berkata mereka turut memperkuatkan persediaan fizikal dengan rutin berjalan pagi sejak awal tahun ini.
“Haji itu ibadah fizikal, jadi kami memang persiapkan stamina,” katanya ketika ditemui media tempatan di lokasi tempatnya bekerja.
Kehidupan Ujud dan Sariyati tidak mudah kerana usaha kecil-kecilan menjual soto keliling yang dimulakan sejak 1990 terjejas teruk semasa pandemik.
Perniagaan kecil mereka turut dirobohkan kerana projek pembangunan semula kawasan namun, pasangan itu tidak berputus asa dan Ujud kemudian beralih menjadi penjaga tempat parkir sepenuh masa, manakala Sariyati membuka semula perniagaan menjual minuman dan makanan ringan berhampiran pejabat polis.
Pasangan ini turut bersyukur kerana ketiga-tiga anak mereka kini berjaya dengan anak sulung menjadi guru, anak kedua bekerja sebagai pelaut dan si bongsu pula berkhidmat dalam Tentera Udara Indonesia (TNI AU).
“Insya-Allah saya tetap kerja menjaga parkir, isteri jual macam biasa. Rezeki kami dari situ,” katanya.