ISTANBUL: Keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menarik balik sekatan terhadap Syria disifatkan sebagai ‘titik perubahan penting,’ lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik Menteri Luar Syria Asaad al-Shaibani pada Selasa.
“Kami mengalu-alukan kenyataan terbaru Presiden Trump mengenai penarikan sekatan yang dikenakan sebelum ini atas dakwaan jenayah perang oleh rejim Bashar al-Assad,” katanya kepada Agensi Berita Arab Syria (SANA) yang dikendalikan kerajaan.
Beliau menyifatkan langkah itu sebagai kemajuan besar bagi rakyat Syria, memberikan harapan ke arah kestabilan, keupayaan kendiri dan pemulihan semula negara selepas bertahun-tahun dilanda perang.
“Kami menyambut baik pengumuman ini dan bersedia untuk membina hubungan dengan AS berasaskan saling hormat, kepercayaan dan kepentingan bersama,” tambahnya.
Shaibani berkata Trump berpotensi merintis perjanjian damai bersejarah yang mampu menjamin kepentingan AS di Syria, sambil mendakwa presiden itu telah berbuat lebih banyak untuk rakyat Syria berbanding pendahulunya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Arab Saudi atas usaha diplomatik dan sokongan dalam membantu mengangkat sekatan yang disifatkan sebagai “tidak adil”.
Menerusi hantaran di platform X, Shaibani memuji peranan Riyadh dalam menyokong usaha penyatuan semula Syria di peringkat serantau, menyifatkan diplomasi Arab Saudi sebagai “suara kebijaksanaan” dan lambang perpaduan Arab.
Dalam ucapannya pada Forum Pelaburan Arab Saudi-AS 2025 di Riyadh, Trump mengumumkan arahan untuk menarik balik sekatan “kejam dan melumpuhkan” bagi memberi peluang kepada Syria “meraih kegemilangan.”
Presiden Syria Ahmed al-Sharaa tiba di Riyadh pada Selasa untuk menghadiri mesyuarat yang dijadualkan bersama Trump, menurut kenyataan Pejabat Presiden Syria.
Lawatan Trump ke Arab Saudi merupakan permulaan kepada siri jelajah Teluk yang turut meliputi Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE). Selain lawatan singkat ke Itali bagi menghadiri pengebumian Paus Francis, ini merupakan lawatan luar negara pertamanya dalam penggal kedua beliau.
Pentadbiran peralihan baharu telah dibentuk di Syria pada Januari lalu susulan kejatuhan rejim Bashar.
Bashar yang memerintah Syria hampir 25 tahun, melarikan diri ke Rusia pada Disember, sekali gus menamatkan pemerintahan Parti Baath sejak 1963.