Pempengaruh Korea Selatan dikecam siar video beli, minum susu badan

Pempengaruh Korea Selatan dikecam siar video beli, minum susu badan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANILA: Seorang pempengaruh Korea Selatan yang menetap di Filipina dikecam hebat oleh warganet selepas memuat naik video dirinya membeli dan meminum susu badan yang diperoleh daripada golongan ibu-ibu yang kurang berkemampuan.

JTBC News, sebuah program berita malam dari rangkaian televisyen Korea Selatan yang mempunyai lebih 4.5 juta pengikut di media sosial mendedahkan perbuatan kontroversi pempengaruh tersebut menerusi rancangan penyiasatan Crime Chief.

Pempengaruh lelaki yang didakwa mempunyai lebih lapan tahun pengalaman dalam penstriman langsung itu dilaporkan memuat naik lebih 4,000 video ke salurannya termasuk lebih 30 video yang secara khusus memaparkan urus niaga susu badan.

Dalam video-video tersebut beliau dilihat menghampiri ibu-ibu menyusu di jalanan sekitar Filipina dan menawarkan 500 peso (RM40) untuk membeli susu badan mereka.

Dalam beberapa kes, beliau turut memberikan wang terus kepada bayi mereka dan bukan kepada golongan wanita tersebut.

Pempengaruh itu menggambarkan susu tersebut sebagai ‘segar’ dan ‘sihat’ malah dalam banyak rakaman, dia meminumnya secara langsung di lokasi.

Dalam beberapa video lain, dia turut mencampurkan susu badan dengan alkohol sebagai sebahagian daripada kandungan mukbang.

Lebih memburukkan keadaan, wajah ibu dan anak-anak kecil mereka turut dipaparkan secara terbuka dalam rakaman tersebut, mencetuskan kemarahan awam dan kebimbangan mengenai eksploitasi seksual serta pemangsaan terhadap golongan miskin.

Namun, dalam temubual bersama JTBC News, pempengaruh yang tidak dinamakan itu mempertahankan tindakannya dengan mendakwa dirinya seperti ‘Santa Claus’ dan kononnya membantu komuniti setempat melalui penghasilan video tersebut.

“Saya hanya mahu menyokong para ibu dan anak-anak mereka dengan membayar susu badan itu kerana mereka tiada pekerjaan di sana. Saya seperti Santa Claus atau ‘pakcik’ baik hati yang membantu mereka yang memerlukan. Saya sangat popular di Filipina,” katanya.

Lelaki itu turut menafikan sebarang niat seksual, sebaliknya mendakwa meminum susu badan atas alasan kesihatan peribadi kerana mengalami kelemahan fizikal dan menggambarkan kontroversi ini sebagai satu ‘perbezaan budaya’.

Namun, bekas Ketua Unit Siasatan Jenayah Antarabangsa di Agensi Polis Metropolitan Seoul, Kim Eun Bae, menolak keras alasan tersebut sambil mengatakan tindakan itu berisiko mendorong lebih banyak eksploitasi dan mencemarkan imej Korea Selatan di peringkat antarabangsa.

Kes ini turut mencetuskan gelombang kritikan dalam talian.

“Ini sungguh memalukan, hentikan perbuatan memperlekeh dan mengeksploitasi orang miskin,” tulis seorang pengguna. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN