TEHERAN: Iran menampilkan peluru berpandu balistik bahan api pepejal baharu dengan jarak jangkauan sejauh 1,200 kilometer.
Tindakan itu dibuat ketika ketegangan semakin meningkat dengan Barat terutamanya Amerika Syarikat (AS).
Menurut stesen penyiar Iran, peluru berpandu balistik Ghassem Basir yang menggunakan bahan api pepejal mampu terbang sehingga jarak sekurang-kurangnya 1,200 kilometer dan merupakan pencapaian pertahanan terbaharu Iran.
Negara-negara Barat menyuarakan kebimbangan terhadap keupayaan peluru berpandu Iran selain turut mendakwanya menjadi punca ketidakstabilan di Asia Barat.
Iran menyokong rangkaian ‘paksi penentangan’ yang terdiri daripada kumpulan pejuang yang menentang Israel termasuk Houthi di Yaman, Hezbollah di Lubnan, Hamas di Semenanjung Gaza dan kumpulan bersenjata Syiah di Iraq.
Pada Oktober tahun lalu, Iran dan musuh ketatnya, Israel buat pertama kalinya saling berbalas serangan secara langsung.
Menteri Pertahanan, Jeneral Aziz Nasirzadeh berkata, Iran tidak memusuhi negara jiran, namun pangkalan tentera AS di rantau ini akan menjadi sasaran jika berlaku serangan terhadap Iran.
Peluru berpandu baharu itu ditunjukkan selepas Iran dan AS mengadakan tiga pusingan rundingan mengenai program nuklear Iran yang dimediasi oleh Oman pada tiga Sabtu berturut-turut bermula 12 April.
Rundingan ini adalah tertinggi antara kedua-dua negara sejak AS menarik diri daripada perjanjian nuklear penting dengan kuasa-kuasa dunia pada tahun 2018.
Khamis lalu, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio dalam satu wawancara dengan Fox News menggesa Iran ‘menghentikan’ pengayaan uranium dengan menyatakan ‘mana-mana negara di dunia yang memperkaya uranium adalah negara yang memiliki senjata nuklear’.
Pada 27 April lalu, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menyatakan rundingan yang boleh dipercayai mesti ‘menghapuskan keupayaan Iran untuk memperkaya uranium bagi senjata nuklear’ dan menghalang pembangunan peluru berpandu balistik.
Bagaimanapun Teheran menafikan hasrat untuk memperoleh senjata nuklear, menegaskan cita-cita nuklearnya adalah sepenuhnya untuk tujuan aman dan kegunaan awam.
Iran menolak perbincangan dengan Washington mengenai keupayaan ketenteraannya termasuk program peluru berpandu balistiknya.