NEW YORK: Ketua bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Tom Fletcher menyatakan mereka mempunyai pelan yang terbukti berkesan dan bekalan 160,000 palet bantuan sudah sedia untuk dihantar ke Semenanjung Gaza.
Sehubungan itu, beliau menegaskan masa tidak harus dibazirkan dengan cadangan alternatif yang disokong agensi bantuan Amerika Syarikat (AS) bersama tentera Israel untuk menyalurkan bantuan ke Gaza.
“Kepada mereka yang mencadangkan kaedah alternatif agihan bantuan, jangan membazirkan masa kerana kami sudah ada pelan,” katanya ketika Israel terus menyekat penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza untuk hari ke-75 berturut-turut.
Malah, badan pemantau kebuluran antarabangsa itu turut memberi amaran setengah juta penduduk iaitu kira-kira suku daripada penduduk Gaza kini berdepan risiko kebuluran.
Di bawah pelan bantuan alternatif yang menerima kritikan itu, sebuah pertubuhan dikenali sebagai Yayasan Kemanusiaan Gaza yang disokong AS dijangka memulakan kerja di Gaza menjelang akhir Mei.
Yayasan itu berhasrat bekerjasama dengan firma keselamatan dan logistik AS swasta untuk membawa bantuan ke hab selamat sebelum diagihkan oleh pertubuhan bantuan.
Bagaimanapun, kaedah pembiayaan dan logistik yayasan itu masih belum jelas, berbanding keupayaan agensi bantuan di bawah PBB.
PBB menegaskan ia tidak akan bekerjasama dengan yayasan itu kerana pelan pengagihan bantuan yang dicadangkan tidak bersifat adil, saksama atau bebas.
Susulan itu, Fletcher mengeluarkan nota taklimat mengenai rancangan PBB untuk menyambung semula penghantaran bantuan ke Gaza, sambil menambah hampir 9,000 trak bersedia untuk memasuki Gaza.
“Kami ada petugas, mempunyai rangkaian pengagihan dan kepercayaan daripada masyarakat setempat.
“Kami juga ada bekalan bantuan itu sendiri iaitu 160,000 palet sedia untuk dihantar sekarang. Jadi, kami menuntut penghantaran bantuan yang pantas, selamat dan tanpa halangan kepada orang awam yang memerlukan. Biarlah kami laksanakan tugas ini,” katanya.
Yayasan Kemanusiaan Gaza juga meminta Israel membenarkan penghantaran bantuan oleh PBB dan kumpulan bantuan disambung semula sehingga infrastrukturnya sendiri beroperasi sepenuhnya bagi meringankan tekanan kemanusiaan yang berterusan.