Pasangan kurung remaja dalam tandas, kandang anjing selama tujuh tahun

Pasangan kurung remaja dalam tandas, kandang anjing selama tujuh tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW JERSEY: Sepasang kekasih di Gloucester Township, New Jersey didakwa menyeksa seorang remaja perempuan selama tujuh tahun dengan memaksanya tinggal dalam kurungan anjing dan dirantai di dalam tandas sebuah rumah dalam keadaan kotor dan mengerikan, menurut pihak pendakwa raya.

Brenda Spencer, 38, dan Branndon Mosley, 41, dituduh mendera mangsa yang kini berusia 18 tahun sejak 2018 termasuk penderaan fizikal, mental dan seksual, menurut kenyataan Pejabat Pendakwa Raya Camden County.

Mangsa melarikan diri dari rumah itu pada Khamis lalu dan mendedahkan, penderaan bermula apabila Spencer mengeluarkannya dari sekolah ketika darjah enam dan memaksanya tinggal dalam kurungan anjing selama hampir setahun.

Mangsa kemudian dikurung dalam bilik air berkunci di mana dia dirantai dan hanya dibenarkan keluar apabila ahli keluarga melawat bagi menutup penderaan yang berlaku.

Apabila tidak dikurung dalam bilik air, mangsa dipaksa tinggal di dalam bilik kosong tanpa kemudahan dan hanya disediakan baldi sebagai tandas.

Menurut mangsa, bilik itu turut dipasang dengan sistem penggera yang akan memaklumkan kepada Spencer dan Mosley sekiranya dia cuba keluar.

Mangsa juga mendakwa didera secara seksual oleh Mosley yang merupakan seorang konduktor kereta api SEPTA, sehingga akhirnya dia berjaya melarikan diri minggu lalu.

Dengan bantuan seorang jiran, remaja itu berjaya menghubungi pihak polis dan melaporkan segala penderitaan yang dialaminya.

Pemeriksaan pihak berkuasa mendapati rumah tersebut berada dalam keadaan yang sangat kotor dan tidak terurus.

Di dalam rumah tersebut, polis turut menemui seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun yang dipercayai telah dikeluarkan dari sekolah beberapa tahun lalu atas arahan Spencer.

Selain itu, terdapat banyak anjing, chinchilla dan haiwan lain di dalam kediaman berkenaan.

Hubungan pasangan Spencer dan Mosley dengan kedua-dua remaja itu masih belum dikenal pasti secara rasmi oleh pihak berkuasa.

Pasangan itu ditangkap pada Ahad dan didakwa atas kesalahan penculikan, serangan, mengabaikan kebajikan kanak-kanak dan penahanan jenayah termasuk beberapa pertuduhan berkaitan senjata.

Mosley turut berdepan lima pertuduhan serangan seksual dan kedua-dua suspek kini ditahan di Pusat Tahanan Camden County sementara menunggu prosiding mahkamah. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN