BANGKOK: Mahkamah Thailand menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra untuk ke luar negara bagi menghadiri satu majlis makan malam peribadi di Qatar yang dijangka turut dihadiri Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Permohonan itu dibuat oleh Thaksin sebagai sebahagian daripada syarat jaminannya, dengan alasan kunjungan itu memberi peluang penting untuk berbincang secara tidak rasmi mengenai isu perdagangan dan tarif antara Thailand dan AS.
Namun, Mahkamah Jenayah dalam keputusannya menyatakan permohonan tersebut tidak mempunyai “justifikasi yang mencukupi”, selain menyifatkan jemputan yang diterima daripada Istana Lusail di Qatar itu bersifat peribadi dan tidak melibatkan sebarang kapasiti rasmi diplomatik.
“Permohonan juga tidak disertakan dengan atur cara perjalanan yang jelas,” menurut kenyataan mahkamah.
Mahkamah turut berpandangan perjalanan tersebut boleh mengganggu proses perundangan yang sedang dihadapi oleh Thaksin, termasuk kes fitnah terhadap institusi diraja yang dijadual dibicarakan pada Julai ini.
Terdahulu, Thaksin mendakwa pertemuan itu akan membuka ruang untuk berbincang bersama pasukan ekonomi Trump susulan tindakan Washington mengenakan tarif setinggi 36 peratus ke atas Thailand, dalam siri penalti perdagangan terbaharu oleh Amerika Syarikat.
Difahamkan, rundingan rasmi antara kedua-dua negara berhubung isu tarif yang sepatutnya berlangsung pada April lalu telah ditangguhkan tanpa tarikh baharu, sekali gus mencetuskan spekulasi krisis politik dalaman menjadi faktor utama.
Thaksin kembali ke Thailand pada Ogos 2023 selepas lebih sedekad hidup dalam buangan dan berikrar untuk tidak lagi melibatkan diri dalam politik, namun laporan media tempatan mendakwa beliau masih memainkan peranan di belakang tabir, termasuk menawarkan diri untuk menjalin hubungan dengan Washington.
Anaknya, Paetongtarn Shinawatra, kini merupakan Perdana Menteri selepas memenangi pilihan raya tahun lalu satu perkembangan yang dilihat ramai sebagai strategi yang diatur Thaksin, walaupun beliau tidak memegang sebarang jawatan rasmi dalam kerajaan.
Thaksin kekal popular dalam kalangan penyokongnya, namun masih tidak disenangi golongan elit pro-royalis dan ketenteraan yang menguasai sistem politik Thailand. -AGENSI