QUITO: Lima nelayan yang hanyut selama 55 hari di laut akhirnya selamat tiba di sebuah pelabuhan di Kepulauan Galapagos pada Sabtu selepas diselamatkan oleh sebuah bot penangkap tuna, menurut Tentera Laut Ecuador dalam satu hantaran di platform X.
Kesemua mangsa terdiri daripada tiga warga Peru dan dua warga Colombia yang dilaporkan hilang sejak pertengahan Mac dan ditemui pada 7 Mei oleh sebuah bot milik Ecuador yang dikenali sebagai Aldo.
Menurut kenyataan tentera laut pada Jumaat, bot nelayan itu mengalami kerosakan pada alat penukar arus bot mereka dua hari selepas berlepas dari Teluk Pucusana di selatan ibu negara Peru, Lima.
Kerosakan tersebut menyebabkan sistem komunikasi dan navigasi tidak berfungsi, kata Kapten Fregat Tentera Laut Ecuador, Maria Fares kepada The Associated Press.
“Mereka langsung tidak mempunyai bekalan kuasa di atas bot. Mereka tiada pemula enjin, tiada lampu dan segala-galanya yang bergantung kepada kuasa bateri.
“Untuk terus hidup, mereka terpaksa mengeluarkan air berkarat dari enjin dan apabila ikan melintas, mereka menangkapnya dan merebus separuh masak untuk dimakan. Mereka juga meminum air hujan dan air laut demi kelangsungan hidup,” kata Fares.
Tiada kecederaan serius dilaporkan dan kesemua nelayan kini berada dalam keadaan stabil.