ILLINOIS: Seorang lelaki warga Amerika Syarikat (AS) dihukum penjara 53 tahun bagi kesalahan membunuh seorang kanak-kanak Palestin-Amerika berusia enam tahun dalam satu serangan bermotifkan kebencian terhadap agama Islam.
Hakim Amy Bertani-Tomczak memutuskan hukuman itu terhadap Joseph Czuba, 73 tahun, seorang tuan rumah dari Illinois yang disabit kesalahan bagi tuduhan jenayah kebencian dan pembunuhan, pada Jumaat.
Pada 14 Oktober 2023, Czuba menyerang dua penyewanya, Hanan Shaheen dan anak lelakinya Wadee Alfayoumi, dalam satu insiden kejam di kediaman mereka di Plainville, berhampiran Chicago.
Menurut polis, Czuba tiba di rumah mereka dalam keadaan marah berhubung perang di Gaza sebelum mencekik dan menahan Shaheen serta mengeluarkan pisau tentera lalu menikam mangsa berulang kali.
Shaheen mengalami lebih daripada 12 tikaman sebelum melarikan diri ke bilik air dan menghubungi talian kecemasan 911. Malangnya, anaknya Wadee ditikam sebanyak 26 kali dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Sepanjang perbicaraan, pendakwa menampilkan rakaman panggilan 911 panik oleh Shaheen serta keterangannya sendiri di kandang saksi, dalam bahasa Inggeris dan Arab. Dia menceritakan perubahan tingkah laku Czuba yang menjadi semakin paranoid dan Islamofobik selepas bermulanya konflik di Gaza.
Keluarga tersebut menyewa dua bilik dalam rumah Czuba selama hampir dua tahun sebelum insiden berlaku. Namun, selepas perang tercetus pada 7 Oktober, Czuba memberitahu Shaheen bahawa umat Islam tidak lagi dialu-alukan di rumahnya dan mengarahkannya berpindah.
Dalam serangan itu, Shaheen berkata dia sekali lagi mendengar Czuba menyebut latar belakang agamanya.
“Dia berkata kepada saya, ‘kamu, sebagai seorang Muslim, mesti mati,’” katanya.