Kala jengking ‘bermaharajalela’ di bandar utama Brazil

Kala jengking ‘bermaharajalela’ di bandar utama Brazil

KES sengatan kala jengking mencecah 200,000 dengan 133 kematian di seluruh Brazil pada tahun lalu. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAO PAULO: Serangga berbisa, kala jengking semakin ‘menguasai’ bandar-bandar utama di Brazil, sekali gus mencetuskan amaran dalam kalangan penyelidik yang mengaitkan fenomena ini dengan kesan perubahan iklim serta pembandaran pesat tidak terancang.

Menurut kajian terbaharu yang diterbitkan dalam jurnal Frontiers in Public Health, lebih 1.1 juta kes sengatan kala jengking direkodkan sepanjang 2014 hingga 2023 selain menunjukkan peningkatan sebanyak 155 peratus dalam tempoh tersebut.

Fenomena ini didorong oleh pembandaran tidak terkawal termasuk pembinaan kawasan setinggan yang menampilkan kediaman berkepadatan tinggi serta pengurusan sisa pepejal yang lemah.

Selain menceroboh habitat liar kala jengking, bandar-bandar ini juga secara tidak sengaja mencipta persekitaran baharu yang ideal untuk pembiakan haiwan berbisa itu.

“Pembandaran di Brazil mengubah landskap ekosistem secara menyeluruh dengan menawarkan segalanya untuk kelangsungan hidup kala jengking seperti dinding, longkang, serpihan binaan, suhu yang hangat dan bekalan makanan yang stabil seperti lipas serta serangga lain,” kata penyelidik utama, Prof. Madya Manuela Berto Pucca dari Universiti Negeri São Paulo.

Antara lokasi kegemaran kala jengking ialah sistem pembetungan kerana suhunya kekal panas sepanjang tahun, tiada pemangsa semula jadi dan penuh dengan sumber makanan.

Beberapa spesies mampu hidup lebih 400 hari tanpa makanan dan membiak secara aseksual, menjadikan usaha membasminya amat sukar.

Perubahan iklim yang membawa kepada musim panas lebih panjang serta kejadian hujan lebat dan kemarau ekstrem turut menyumbang kepada peningkatan populasi kala jengking, memandangkan haiwan ini lebih sesuai hidup dalam persekitaran panas dan lembap.

Data awal tahun 2024 menunjukkan hampir 200,000 kes sengatan dengan 133 kematian direkodkan di seluruh negara malah, penyelidik meramalkan 2 juta lagi kes baharu akan berlaku dari tahun 2025 hingga 2033.

Negara-negara seperti Brazil, Paraguay, Bolivia, Mexico, Guyana dan Venezuela kini menyak­si­kan pe­ningkatan kes scorpionism, istilah pe­rubatan bagi kesan sengatan kala jengking sehingga menjadi krisis kesihatan awam. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN