LONDON: Rambut gugur tidak lagi menjadi punca keresahan dalam kalangan lelaki apabila satu kajian terbaharu mendedahkan lelaki botak sebenarnya dilihat lebih menarik berbanding mereka yang berambut lebat.
Kajian yang dijalankan oleh Illicit Encounters melibatkan seramai 2,000 wanita, mendapati kepala botak merupakan antara ciri fizikal lelaki paling digemari berada di tempat kedua selepas tubuh berotot.
Menurut jurucakap Illicit Encounters, Jessica Leoni, penampilan fizikal adalah subjektif namun beliau menegaskan lelaki botak kini dianggap sebagai antara yang paling menawan.
“Lelaki botak adalah antara jejaka yang paling seksi,” ujar kajian tersebut.
Penemuan mengejutkan ini sekali gus memberikan nafas baharu kepada ramai lelaki yang sebelum ini risau dengan masalah keguguran rambut, malah ada yang sanggup berbelanja besar bagi menumbuhkan semula rambut atau mendapatkan rawatan pemulihan.
Selain tarikan fizikal, beberapa kajian lain turut mendapati kebotakan dalam kalangan lelaki dikaitkan dengan ciri-ciri dominan sosial yang tidak mengancam, serta personaliti matang, bijak, berpendidikan dan jujur sekaligus menyumbang kepada persepsi golongan ini lebih menawan dan dipercayai.
Dalam kaji selidik tersebut, tubuh berotot muncul sebagai ciri paling menarik, dipilih oleh 42 peratus responden diikuti rapat oleh kepala botak (40 peratus), mata biru (38 peratus), janggut (36 peratus), rambut hitam (31 peratus) dan rambut kerinting (30 peratus).
Antara ciri lain yang turut mendapat perhatian ialah tulang pipi tinggi (26 peratus), rambut perang (22 peratus), mata hijau (21 peratus) dan dada berbulu (18 peratus).