Jumlah kanak-kanak di Jepun semakin menurun

Jumlah kanak-kanak di Jepun semakin menurun

POPULASI kanak-kanak di Jepun merekodkan penurunan untuk tahun ke-44 berturut-turut. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Populasi kanak-kanak di Jepun mencatatkan penurunan untuk tahun ke-44 berturut-turut dan kini berada pada paras terendah dalam sejarah negara itu, menurut data yang dikeluarkan oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Komunikasi semalam.

Angka rasmi menunjukkan jumlah kanak-kanak berusia 14 tahun ke bawah setakat 1 April lalu adalah seramai 13.66 juta orang, menurun sebanyak 350,000 berbanding tahun sebelumnya.

Jumlah itu hanya mewakili 11.1 peratus daripada keseluruhan penduduk Jepun yang dianggarkan seramai 123.4 juta orang pada tahun lalu menunjukkan penurunan kecil berbanding tahun sebelumnya.

Krisis demografi kini menjadi antara cabaran terbesar yang dihadapi Jepun, dengan kadar kelahiran yang terus menurun walaupun pelbagai usaha telah digerakkan oleh kerajaan untuk menggalakkan perkahwinan dan pembentukan keluarga dalam kalangan generasi muda.

Kadar kesuburan Jepun iaitu purata bilangan anak yang dilahirkan oleh setiap wanita sepanjang hayat kekal sekitar 1.3 dalam beberapa tahun kebelakangan ini, jauh di bawah kadar 2.1 yang diperlukan bagi mengekalkan populasi stabil.

Trend penurunan ini juga menyaksikan jumlah kematian setiap tahun mengatasi bilangan kelahiran, sekali gus menyebabkan jumlah keseluruhan penduduk menyusut, memberi kesan besar terhadap tenaga kerja, ekonomi, sistem kebajikan dan struktur sosial negara itu.

Para pakar meramalkan trend ini akan berterusan untuk beberapa dekad akan datang dan sukar untuk dibalikkan memandangkan struktur penduduk negara itu.

Antara faktor utama penyusutan populasi ialah kos sara hidup yang tinggi, ekonomi dan gaji yang tidak berkembang, kekurangan ruang tempat tinggal serta budaya kerja yang terlalu menuntut masa dan tenaga.

Budaya kerja berlebihan yang berakar umbi dalam masyarakat Jepun menyaksikan ramai pekerja terpaksa bekerja dalam tekanan tinggi dengan waktu yang panjang, menyebabkan ramai anak muda memilih untuk menumpukan kepada kerjaya berbanding berkeluarga.

Negara jiran seperti China, Hong Kong, Taiwan dan Korea Selatan turut berdepan masalah penurunan populasi, selain beberapa negara Eropah seperti Sepanyol dan Itali.

China yang sebelum ini merupakan negara paling ramai penduduk di dunia, mencatatkan penurunan populasi buat tahun ketiga berturut-turut pada 2024, dengan jumlah kematian mengatasi kelahiran sebelum diatasi oleh India. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN