AMMAN: Pihak berkuasa Jordan mengusir secara paksa kira-kira 100 pelarian Palestin dari sebuah kem tidak rasmi di ibu negara bagi memberi laluan kepada projek pembinaan baharu, menurut laporan Human Rights Watch (HRW) minggu ini.
Menurut HRW, pihak Majlis Perbandaran Besar Amman (GAM) merobohkan 25 buah rumah dan beberapa premis perniagaan di Kem Al-Mahatta pada November dan Disember tahun lalu yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 101 penduduk kehilangan tempat tinggal.
Walaupun Kem Al-Mahatta tidak diiktiraf secara rasmi sebagai kem pelarian oleh kerajaan Jordan, ia menempatkan kira-kira 8,000 penduduk Palestin yang keluarganya diusir oleh tentera Israel semasa peristiwa Nakba pada 1948.
Pengusiran dan perobohan itu dilaporkan dilakukan bagi memberi laluan kepada projek perancangan bandar baharu yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa Amman.
Pada Disember lalu, pihak GAM telah mengumumkan Pelan Strategik Empat Tahun sehingga 2026, yang merangkumi rancangan untuk menambah kawasan hijau, menambah baik sistem trafik serta mengurangkan kepadatan penduduk di kawasan kejiranan tidak diiktiraf.
Laporan HRW menyatakan penduduk yang diusir tidak diberikan rundingan sewajarnya, notis mencukupi, pampasan yang adil atau bantuan penempatan semula.
Beberapa penduduk mendakwa hanya diberi notis antara dua minggu hingga sebulan, bersama janji lisan tidak jelas tentang pampasan sebanyak 80 dinar Jordan (RM530) bagi setiap meter persegi, tanpa ketelusan jelas mengenai proses atau tempoh pelaksanaan.
Datuk Bandar Amman, Yousef Al-Shawarbeh, bagaimanapun berkata, penduduk yang diusir tidak layak menerima pampasan kerana mereka telah ‘menceroboh harta milik negara’, sebaliknya pihak berkuasa hanya menawarkan mereka sumbangan sebagai bantuan.