TEL AVIV: Satu peta yang didedahkan oleh sumber diplomatik mencetuskan kebimbangan antarabangsa selepas ia menunjukkan rancangan untuk memisahkan Gaza kepada tiga jalur tanah yang dikawal ketat, sekiranya gencatan senjata dengan Hamas gagal dicapai dalam masa terdekat.
Menurut laporan The Sunday Times, peta berkenaan memperlihatkan kawasan tentera khas di bahagian utara, tengah dan selatan Gaza yang hanya boleh diakses oleh tentera Israel, manakala penduduk awam diletakkan di kawasan yang terpisah antara zon-zon tersebut.
Pergerakan barangan pula tertakluk kepada pemeriksaan keselamatan ketat termasuk pengesahan wajah dan kod bar.
Langkah baharu itu dipercayai bakal menghalang hampir dua juta rakyat Palestin daripada bergerak bebas di wilayah Gaza tanpa kebenaran khas dan beberapa syarikat asing yang diberi taklimat mengenai pelan ini dan dilantik untuk menguruskan bantuan kemanusiaan menyuarakan kebimbangan terhadap kebebasan penduduk awam.
Jurucakap Pasukan Pertahanan Israel (IDF) ketika ditanya mengenai peta tersebut enggan mengesahkan atau menafikannya.
Pendedahan ini muncul selepas cadangan terdahulu yang dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), mencadangkan perpindahan besar-besaran seluruh penduduk Gaza ke kawasan yang digelar ‘zon kemanusiaan’ jika tiada perjanjian dicapai dengan Hamas.
Pelan tersebut turut melibatkan pemusnahan sepenuhnya infrastruktur atas dan bawah tanah di Gaza.
Seorang pegawai berkata, alternatif kepada rakyat Palestin adalah untuk meninggalkan tanah air mereka secara ‘sukarela’, selaras dengan visi Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Liga Arab dijangka bersidang di Baghdad dalam masa terdekat bagi membincangkan isu serantau, dengan Gaza dijangka menjadi agenda utama.
Sehingga kini, perang yang tercetus sejak serangan pada 7 Oktober 2023 telah mengorbankan lebih 53,000 nyawa, termasuk hampir 3,000 dalam gelombang serangan terbaru Israel dan sebanyak 57 daripada 251 tebusan masih berada di Gaza, termasuk 34 yang disahkan telah meninggal dunia. -AGENSI