TEL AVIV: Menteri Keselamatan Zionis, Itamar Ben-Gvir mengkritik rancangan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza dengan menyifatkannya sebagai satu ‘bencana’ dan mendakwa ia hanya menguntungkan Hamas.
Dalam satu temu bual bersama saluran televisyen Israel, Ben-Gvir berkata, mengikut Konvensyen Geneva, bantuan tidak boleh diberikan kepada Gaza kerana dikhuatiri akan digunakan oleh Hamas untuk menyerang Israel.
Beliau menyifatkan usaha bantuan tersebut sebagai tindakan yang ‘menjauhkan Israel daripada kemenangan’ dalam peperangan menentang Hamas.
Ben-Gvir juga tidak berpuas hati terhadap laporan mengenai rancangan bersama AS-Israel untuk menyalurkan bantuan ke Gaza.
“Israel boleh tolak Trump bila-bila masa,” katanya.
Ben-Gvir turut memberi amaran terhadap sebarang percubaan membenarkan Iran memiliki keupayaan nuklear untuk tujuan awam, sambil menegaskan nasib Israel mesti ditentukan oleh Israel sendiri, bukan oleh AS atau mana-mana pihak luar.
Ben-Gvir sebelum ini mencadangkan supaya Israel menyekat semua bekalan makanan, air, ubat-ubatan, bahan api dan bantuan lain ke Gaza seperti yang dilakukan sejak dua bulan lalu, bagi membiarkan penduduk Palestin mati kebuluran.
Beliau turut mencadangkan gudang makanan dan penjana elektrik dibom supaya tiada lagi bekalan mahupun tenaga di wilayah itu.