TEHERAN: Penasihat kepada Pemimpin Agung Iran menyatakan Teheran bersedia mempertimbangkan kawalan menyeluruh terhadap program nuklearnya sekiranya sekatan ekonomi ke atas negara itu ditarik balik serta-merta.
Dalam satu wawancara bersama stesen penyiaran NBC News semalam, Penasihat Ayatollah Ali Khamenei, Ali Shamkhani berkata, Iran bersedia untuk tidak membangunkan senjata nuklear, menyerahkan stok uranium yang diperkaya pada kadar tinggi serta membenarkan pemeriksa antarabangsa memasuki tapak-tapak nuklearnya, dengan syarat sekatan ekonomi ditamatkan.
Ketika ditanya sama ada Iran sanggup menandatangani perjanjian dengan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sekiranya sekatan ditarik balik segera, Shamkhani menjawab ringkas, ‘Ya’.
Kenyataan itu dibuat selepas pusingan keempat rundingan nuklear antara Iran dan AS berlangsung pada Ahad lalu, menjadikan ia pertemuan tertinggi antara kedua-dua negara sejak Washington menarik diri daripada perjanjian nuklear 2015 pada tahun 2018.
Iran kini memperkayakan uranium pada tahap 60 peratus, jauh melebihi had 3.67 peratus yang ditetapkan dalam perjanjian terdahulu, namun masih di bawah paras 90 peratus yang diperlukan untuk menghasilkan senjata nuklear.
Sejak penarikan diri AS, Iran secara beransur-ansur mengurangkan komitmennya terhadap perjanjian tersebut.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio sebelum ini menyatakan Iran merupakan satu-satunya negara tanpa senjata nuklear yang memperkayakan uranium ke tahap sedemikian.
Negara-negara Barat lama menuduh Iran berusaha mendapatkan senjata nuklear, namun Teheran bertegas program tersebut hanyalah untuk tujuan keamanan dan mendapatkan bekalan tenaga.
Walaupun rundingan diteruskan, Washington masih mengenakan pelbagai sekatan ke atas program nuklear dan industri minyak Iran, termasuk sekatan terbaharu yang diumumkan pada Isnin lalu.
Dalam temu bual pada hari Rabu, Ali mengkritik retorik Trump terhadap Iran serta ancaman yang dilemparkan terhadap negara itu, walaupun rundingan masih berlangsung.
“Dia bercakap tentang ranting zaitun, yang kami tidak pernah nampak. Yang ada hanyalah dawai berduri,” katanya kepada NBC News.– AFP











