Iran rekod kes aneh sindrom kepala jatuh 

Iran rekod kes aneh sindrom kepala jatuh 

SINDROM kepala jatuh dikesan pada seorang pesakit di Iran.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Sekumpulan doktor dari Universiti Perubatan Isfahan, Iran merekodkan satu kes luar biasa melibatkan seorang lelaki berusia 23 tahun yang mengalami keadaan ekstrem dikenali sebagai ‘sindrom kepala jatuh’ akibat kelemahan otot leher.

Keadaan perubatan serius yang dikenali sebagai Cervical Kyphoscoliosis (CKS) atau ‘Dropped Head Syndrome’ ini berlaku apabila otot pelorus leher gagal menyokong berat kepala. 

Ia lazimnya dikaitkan dengan penyakit neuromuskular seperti mitochondrial myopathy, myopati kongenital, penyakit neuron motor atau keabnormalan anatomi seperti saiz kepala yang luar biasa besar.

Namun, dalam laporan terbaharu itu, doktor Iran mendokumentasikan kes pertama seumpamanya yang berpunca daripada penyalahgunaan dadah berpanjangan.

Pesakit yang tidak dinamakan itu digambarkan dari latar belakang sosio ekonomi rendah serta mempunyai sejarah perubatan gangguan kemurungan serta ketagihan dadah, termasuk heroin, candu dan amfetamin. 

Menurut laporan, selepas setiap kali menggunakan amfetamin, pesakit cenderung mengekalkan posisi leher yang membongkok untuk jangka masa panjang, yang akhirnya menyebabkan perubahan progresif dalam struktur tulang lehernya.

“Kami mendapati penyalahgunaan dadah menyumbang kepada perkembangan kyphosis serviks yang jarang dan kompleks ini.

“Dadah tidak memberi kesan langsung kepada perubahan muskuloskeletal, sebaliknya kesan tidak langsung berlaku apabila pesakit kekal dalam satu posisi tertentu untuk tempoh lama semasa di bawah pengaruh dadah, yang akhirnya membawa kepada perubahan postur yang kekal,” tulis pasukan doktor itu dalam laporan kes itu. 

Hasil ujian saraf kranial, kekuatan otot dan fungsi autonomi pesakit menunjukkan keputusan normal, namun imbasan CT mendedahkan kecacatan kyphoscoliosis yang teruk melibatkan tulang vertebra C3, C4 dan C5.

Bagi menangani keadaan itu, doktor menjalankan pembedahan dalam tiga peringkat untuk membuang tulang yang cacat dan membetulkan semula kedudukan lehernya. 

Pembedahan itu berjaya dan pesakit dilaporkan mampu berjalan semula dengan bantuan pendakap khas hanya sehari selepas pembedahan dan dibenarkan keluar hospital tiga hari kemudian. 

Pesakit turut menjalani beberapa sesi rundingan psikiatri dan berjaya berhenti mengambil dadah. 

Kes ini telah membawa kepada pengenalan istilah baharu dalam dunia perubatan iaitu ‘intoxicated syndrome’ yang merujuk kepada perubahan muskuloskeletal akibat posisi badan yang tidak normal ketika berada di bawah pengaruh bahan terlarang.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya