Hamas bebaskan tahanan terakhir AS di Gaza

Hamas bebaskan tahanan terakhir AS di Gaza

PENUNJUK perasaan memegang poster Edan Alexander dalam demonstrasi di Tel Aviv. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DEIR AL-BALAH: Hamas mengumumkan pembebasan seorang tahanan warga Amerika Syarikat (AS) terakhir yang masih hidup di Gaza, Edan Alexander sebagai sebahagian daripada usaha mencapai gencatan senjata dan menyambung semula penghantaran bantuan kemanusiaan ke wilayah itu.

Dua pegawai Hamas memaklumkan kepada AP, pembebasan itu dilakukan pada petang semalam.

Wakil Presiden AS Donald Trump, Steve Witkoff turut mengesahkan Hamas bersetuju membebaskan Alexander sebagai satu isyarat muhibah kepada Trump.

Pengumuman ini merupakan pembebasan pertama sejak Israel memungkiri gencatan senjata pada Mac lalu dan berlaku menjelang lawatan Trump ke Asia Barat minggu ini.

Ia menandakan kesediaan sekutu rapat Israel itu untuk memberikan dorongan baharu dalam rundingan gencatan senjata bagi perang yang sudah berlarutan selama 19 bulan.

Alexander adalah askar Israel-AS berasal dari New Jersey yang diculik dari pangkalannya semasa serangan Hamas pada 7 Oktober 2023.

Namun, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyatakan pembebasan Alexander tidak akan menyebabkan gencatan senjata atau pertukaran tahanan Palestin dilakukan di Gaza.

Katanya, koridor keselamatan diwujudkan bagi membolehkan Alexander dibebaskan dengan selamat.

Kerajaan Netanyahu berang dengan rundingan terus antara AS dan Hamas awal tahun ini yang menghasilkan tawaran Hamas untuk membebaskan Alexander serta empat mayat tebusan jika Israel bersetuju dengan perjanjian gencatan senjata yang tergendala.

Witkoff memberitahu, tujuan Hamas membebaskan Alexander adalah untuk memulakan semula rundingan gencatan senjata, pembebasan lebih ramai tebusan, serta peningkatan bantuan kemanusiaan ke Gaza sebelum Israel melaksanakan ancaman penguasaan penuh ke atas wilayah tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN