FDA lulus kit saringan ganti ujian pap smear

FDA lulus kit saringan ganti ujian pap smear

KIT saringan kanser serviks Teal Wand dibangunkan oleh syarikat Teal Health.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) meluluskan alat saringan kanser serviks pertama untuk kegunaan di rumah sebagai alternatif kepada ujian pap smear yang biasanya dilakukan oleh pakar ginekologi.

Alat dinamakan Teal Wand itu merupakan swab faraj yang direka berbentuk seperti tampon dan dibangunkan oleh syarikat Teal Health. 

Ia akan ditawarkan secara dalam talian kepada individu berumur antara 25 hingga 65 tahun yang berisiko sederhana terhadap kanser serviks.

Pengguna boleh memohon kit secara atas talian dengan menjalani sesi konsultasi pendek bersama penyedia penjagaan kesihatan untuk menilai kelayakan sebelum alat itu dihantar ke rumah. 

Sampel akan diambil sendiri oleh pengguna sebelum dihantar ke makmal untuk dianalisis.

Teal Wand direka untuk mengesan jenis-jenis virus papilloma manusia (HPV) berisiko tinggi, iaitu punca utama kanser serviks. 

Kajian klinikal berskala besar menunjukkan ketepatannya setanding dengan ujian pap smear tradisional, yang menggunakan spekulum dan sering menjadi punca wanita enggan menjalani pemeriksaan kerana rasa tidak selesa.

Kebanyakan individu yang aktif secara seksual akan dijangkiti HPV pada suatu ketika, tetapi hanya sebilangan kecil yang akan mengalami perkembangan sehingga tahap kanser.

Teal Health belum mendedahkan harga produk itu, namun menyatakan sedang berbincang dengan pihak insurans untuk memastikan ia mampu dimiliki dan produk itu akan dilancarkan di California pada Jun.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN