EU rangka sekatan baharu terhadap Russia

EU rangka sekatan baharu terhadap Russia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIRANA: Kesatuan Eropah (EU) merangka satu sekatan baharu bagi meningkatkan tekanan terhadap Presiden Russia, Vladimir Putin susulan perang berterusan di Ukraine, kata Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen pada Jumaat.

Sidang Kemuncak Komuniti Politik Eropah, yang turut disertai negara-negara bukan ahli EU berlangsung di ibu negara Albania, Tirana, serentak dengan rundingan damai pertama antara Russia dan Ukraine di Istanbul yang diadakan dengan desakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

EU sudah meluluskan 17 pakej sekatan terhadap Russia setakat ini termasuk yang terbaharu minggu ini.

Namun, diplomat mengakui semakin sukar untuk mendapatkan persetujuan sebulat suara daripada kesemua 27 negara anggota bagi meluluskan sekatan tambahan.

“Dia (Putin) tidak mahukan perdamaian, jadi kita perlu tingkatkan tekanan. Sebab itulah kami sedang menyiapkan satu pakej sekatan baharu.

“Pakej ini akan merangkumi sekatan terhadap saluran gas Nord Stream 1 dan Nord Stream 2 selain melibatkan penyenaraian lebih banyak kapal dalam armada bayangan Russia, penurunan had harga minyak dan sekatan tambahan terhadap sektor kewangan di Russia,” kata von der Leyen.

Nord Stream 1 dan Nord Stream 2, masing-masing terdiri daripada dua saluran paip, dibina oleh syarikat Gazprom yang dikawal oleh kerajaan Russia untuk membekalkan gas asli ke Jerman melalui Laut Baltik. Kedua-dua saluran tersebut rosak akibat siri letupan pada 2022.

Pegawai dan diplomat EU menyatakan sebarang sekatan utama baharu yang diancam oleh pemimpin Eropah dalam beberapa hari kebelakangan ini memerlukan sokongan AS untuk dilaksanakan dengan berkesan.

Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky berkata, keutamaan utama Ukraine adalah mendapatkan gencatan senjata tanpa syarat sebagai asas kepada rundingan damai pada masa hadapan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN