MANILA: Rakyat Filipina keluar mengundi hari ini, namun dua insiden keganasan yang dipercayai berkaitan dengan pilihan raya separuh penggal itu dilaporkan berlaku di Negros.
Di Silay City, wilayah Negros Occidental, dua orang penyokong Datuk Bandar, Joedith Gallego dilaporkan maut manakala beberapa yang lain cedera dalam satu kejadian tembakan pagi Isnin.
Gallego kini bertanding untuk mengekalkan jawatannya.
Sementara itu di Davao Occidental, seorang kanak-kanak cedera akibat terkena peluru sesat.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya memaklumkan pihaknya belum dapat memastikan sama ada insiden itu ada kaitan dengan pilihan raya.
“Kita tidak tahu kenapa mereka perlu melepaskan tembakan,” katanya.
Dalam tempoh menjelang hari pengundian, sekurang-kurangnya 16 orang maut termasuk dua calon politik ditembak mati sementara empat lagi terbunuh dalam satu pertempuran bersenjata di Mindanao pada Ahad.
Lapor BBC, kematian akibat keganasan politik menjelang pilihan raya bukan perkara luar biasa di Filipina, sebuah negara yang terkenal dengan undang-undang senjata api yang longgar.
Sementara itu, Filipina yang menggunakan mesin pengundian elektronik sejak lebih sedekad bagi mempercepat ketepatan proses pengiraan undi menukar pembekal sistem tersebut kepada Miru Systems, sebuah syarikat dari Korea Selatan bagi piihan raya kali ini.
Syarikat itu merupakan satu-satunya pembida kontrak kerajaan bernilai 17.9 bilion peso (RM1.3 bilion) bagi membekalkan sekitar 110,000 mesin pengiraan automatik.
Walau bagaimanapun, Miru Systems pernah mencetuskan kontroversi di negara-negara seperti Republik Demokratik Congo dan Iraq.
Pengkritik mendakwa sistem mereka terdedah kepada penggodaman dan penipuan, namun pihak syarikat menafikan dakwaan tersebut.
Suruhanjaya Pilihan Raya Filipina turut memaklumkan sekitar 31,000 banduan yang sedang ditahan di penjara mendaftar sebagai pengundi bagi pilihan raya kali ini.
Ramai daripada mereka masih menunggu perbicaraan dan mengundi dari dalam penjara di Muntinlupa City, selatan Manila.
Proses pengundian dijalankan dengan kawalan ketat, termasuk pemeriksaan keselamatan oleh pengawal sebelum memasuki pusat pengundian.
Jutaan rakyat Filipina hari ini keluar mengundi bagi menentukan lebih 18,000 kerusi untuk pelbagai jawatan termasuk Dewan Perwakilan dan pihak berkuasa tempatan.
Undian itu juga dilihat sebagai pungutan suara siapa lebih berpengaruh dalam pertelingkahan sengit antara Presiden, Ferdinand Marcos Jr. dan Naib Presiden yang dipecat, Sara Duterte.
Tempat mengundi di seluruh negara dibuka seawal pukul 7 pagi (waktu tempatan) di mana perlumbaan ke Dewan Senat akan membawa kesan besar terhadap Pilihan Raya Presiden 2028.
Tahun ini, satu tempoh pengundian awal khas dibuka seawal 5 pagi (waktu tempatan) untuk warga emas dan golongan kurang upaya.
Seramai 12 Senator terpilih akan membentuk separuh daripada panel juri dalam perbicaraan pemecatan terhadap Duterte Julai ini, yang boleh menyebabkan beliau diharamkan secara kekal daripada memegang jawatan awam.
Duterte memerlukan sekurang-kurangnya sembilan daripada 24 kerusi Senat untuk mengekalkan harapan bertanding jawatan Presiden pada masa hadapan.