HELSINKI: Finland meluluskan undang-undang mengehadkan penggunaan telefon dan peranti mudah alih lain semasa waktu persekolahan, berikutan kebimbangan terhadap kesannya kepada kesejahteraan serta pembelajaran pelajar.
Langkah itu diluluskan oleh Parlimen Finland pada Selasa lalu dan akan berkuat kuasa mulai 1 Ogos.
Parlimen Finland mengarahkan jabatan pendidikan dan kebudayaan untuk menjalankan kajian mengenai kesan sekatan di peringkat negara dan antarabangsa, yang dijangka siap menjelang akhir tahun depan.
Di bawah undang-undang itu, pelajar hanya boleh menggunakan peranti mudah alih dengan kebenaran guru untuk tujuan kesihatan atau pembelajaran.
Sekolah juga diwajibkan menetap peraturan berkaitan penggunaan dan penyimpanan peranti mudah alih semasa waktu pembelajaran, makan dan rehat.
Menteri Pendidikan Finland, Anders Adlercreutz berkata, langkah itu membantu pelajar menumpukan perhatian kepada sesi pembelajaran dan mewujudkan suasana persekolahan yang tenang.
“Sekolah bukan sekadar tempat memperoleh ilmu. Ia juga tempat di mana kemahiran sosial dibentuk.
“Apabila mata sentiasa tumpu pada skrin, interaksi dengan orang lain menjadi sukar, sebab itu kami ingin memberi pelajar peluang berinteraksi secara bermakna sepanjang persekolahan,” katanya.
Finland menjadi negara Eropah terbaharu yang mengenakan sekatan undang-undang terhadap penggunaan telefon dan peranti mudah alin di sekolah berikutan peningkatan kesan terhadap kanak-kanak serta golongan muda.
Awal tahun ini, Denmark mengumumkan larangan penggunaan telefon bimbit di semua sekolah.
Selain dua negara itu, Perancis dan Norway juga memperkenalkan sekatan terhadap penggunaan telefon bimbit untuk pelajar sekolah serta kanak-kanak.
Di United Kingdom (UK), satu tinjauan terbaharu menunjukkan 99.8 peratus sekolah rendah dan 90 peratus sekolah menengah mempunyai sekatan tertentu terhadap penggunaan telefon, walaupun tiada larangan berkanun kebangsaan.