JEDDAH: Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi akan mengenakan tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melaksanakan ibadah haji atau memasuki dan menetap di Mekah serta kawasan Tanah Suci tanpa permit yang sah.
Jurucakap kementerian, Kolonel Talal Shalhoub berkata, mana-mana pihak yang didapati melanggar peraturan itu boleh didenda sehingga 20,000 riyal Saudi (RM23,006).
“Pihak yang melakukan kesalahan ini, termasuk memohon visa bagi kegunaan pihak lain, menyediakan pengangkutan, penempatan, menyembunyikan atau memberikan sebarang bantuan juga boleh didenda sehingga 10,000 riyal Saudi (RM11,503).
“Denda akan dikenakan bagi setiap pelanggaran yang dilakukan,” katanya.
Selain itu, Talal turut memaklumkan, pelawat yang tinggal melebihi tempoh sah dan cuba menunaikan haji tanpa permit sah akan dihantar pulang ke negara asal.
Katanya, mereka juga akan dilarang memasuki negara ini selama 10 tahun.
Dalam pada itu, beliau memberi amaran mengenai penipuan berkaitan perkhidmatan haji seperti penginapan palsu, pengangkutan, penyediaan haiwan korban dan penggunaan gelang haji tiruan,
Talal juga memaklumkan mengenai pelaksanaan inisiatif ‘Makkah Route’ di bawah Program Pengalaman Haji, sebahagian daripada Wawasan Saudi 2030.
Inisiatif itu kini beroperasi di 11 lapangan terbang di tujuh negara, dan sejak pelancarannya pada 1438 Hijrah (2017), ia memberi kemudahan kepada 940,657 jemaah haji.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan dan Perkhidmatan Logistik Arab Saudi, Saleh Al-Jasser, menyambut ketibaan kumpulan pertama jemaah haji bagi musim 1446 Hijrah di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, Jeddah.
Penerbangan awal yang membawa seramai 396 jemaah dari Dhaka, Bangladesh adalah antara beberapa penerbangan yang dijadualkan tiba melalui lapangan terbang itu dan Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammed bin Abdulaziz di Madinah.
Al-Jasser menyatakan sebanyak enam lapangan terbang utama diperuntukkan untuk menerima ketibaan jemaah haji dari seluruh dunia, termasuk lapangan terbang di Jeddah, Madinah, Yanbu, Taif, Riyadh dan Dammam.