CHONGQING: Di sebalik kemajuan teknologi dan pembangunan pesat yang menjadikan Chongqing sebagai hab pengeluaran komputer riba utama dunia, penduduk tempatan mendedahkan sisi suram kehidupan di megapolis itu yang digelar sebagai ‘bandar siberpunk’ China.
Chongqing, yang terletak di barat daya China, mempunyai populasi mencecah 32 juta orang dan keluasan sebesar negara Austria serta terkenal kerana menghasilkan hampir separuh komputer riba dunia selepas syarikat Hewlett-Packard (HP) membuka pangkalannya di sana pada 2009, diikuti syarikat gergasi lain seperti Foxconn, Lenovo, Asus dan Quanta Computer namun, di sebalik kemajuan tersebut, kehidupan sebenar pekerja di kota itu penuh tekanan dan muram.
Di media sosial seperti TikTok, beberapa pekerja kilang berkongsi rutin seharian mereka yang memaparkan kesuraman hidup di asrama sesak, makanan tidak menyelerakan serta larangan membawa telefon bimbit ke tempat kerja.
Disebabkan larangan merakam di dalam kilang, hanya suasana sebelum dan selepas bekerja dapat dirakam serta pekerja kelihatan murung dan keletihan sebaik selesai syif dalam satu klip video berkenaan.
Seorang lagi pengguna TikTok menunjukkan dirinya memulakan syif malam selama 12 jam sebelum pukul 8 malam waktu tempatan, makan malam secara senyap dan rakan sekerja yang hanya mampu berehat di kerusi sebelum menyambung tugas menggambarkan tekanan kerja yang dialami para pekerja industri elektronik di Chongqing.
Kehidupan sukar pekerja bukan satu-satunya isu yang menjejaskan imej bandar ini kerana Chongqing turut dikenali sebagai antara bandar paling diawasi di dunia, dengan ribuan kamera litar tertutup (CCTV), sistem pengecaman wajah dan pembaca nombor plat kenderaan dipasang di seluruh bandar.
Menurut Radio Free Asia, pada awal tahun ini, pihak berkuasa memasang sebanyak 27,900 kamera dan 245 sensor di seluruh bandar sebagai sebahagian daripada pelan pengawasan ‘grid’ di bawah projek ‘Sharp Eyes’ yang bertujuan mengurangkan kadar jenayah dan membanteras penentangan awam.
Komuniti kejiranan juga dipertanggungjawab memantau aktiviti penduduk, sehingga ada menyamakannya dengan jaringan risikan paling ketat di dunia sehingga mengundang kritikan yang menyuarakan kebimbangan terhadap pelanggaran hak privasi akibat kawalan sedemikian.
Ciri lain yang menjadikan bandar ini unik dan pelik ialah seni bina berlapis-lapis serta kompleks, dengan landasan kereta api yang menembusi bangunan apartmen, selain kedudukan jalan raya yang mengelirukan di mana bangunan tinggi yang menjadi tempat tinggal penduduk turut digelar ‘keranda’ kerana ruangnya yang terlalu sempit.
Realiti kehidupan di Chongqing mendedahkan wajah sebenar pembangunan pesat di mana kemajuan teknologi tidak semestinya seiring dengan kesejahteraan hidup rakyat. -AGENSI