BEIJING: China melancarkan hospital pertama di dunia yang dikendalikan sepenuhnya oleh teknologi kecerdasan buatan (AI), sekali gus mencetus perubahan radikal dalam masa depan penjagaan kesihatan global.
Dibangunkan oleh Universiti Tsinghua di Beijing, hospital berkenaan menampilkan 14 doktor dan empat jururawat AI yang boleh mendiagnosis, merawat dan mengurus sehingga 3,000 pesakit setiap hari, tanpa sebarang kakitangan manusia.
Hospital tersebut menggunakan model bahasa besar multimodal (MLLM) untuk mensimulasikan interaksi masa nyata dengan pesakit, mengendalikan diagnosis, menetapkan rawatan dan memantau perkembangan penyakit, semuanya secara digital.
Ia juga termasuk keupayaan ramalan yang boleh mensimulasikan cara penyakit merebak, yang berpotensi membantu pegawai bersedia menghadapi wabak masa depan.
Menurut Dekan Eksekutif Institut Penyelidikan Universiti Tsinghua, Liu Yang, platform ini direka bukan untuk menggantikan doktor, tetapi membantu mereka, terutamanya dengan mengurangkan beban kerja pentadbiran.
“Kami sedang membina pembantu AI untuk mengurangkan beban pentadbiran doktor.
“Kami mahu produk kami membantu setiap pesakit terutamanya di kawasan terpencil untuk mendapat akses segera kepada penjagaan berkualiti hanya melalui telefon pintar mereka,” katanya.
Inisiatif itu menarik minat global termasuk Ketua Komunikasi Delegasi Serantau Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa bagi Asia Timur, Najum Iqbal yang menegaskan sistem penilaian kecemasan pesakit berkuasa AI boleh menyelamatkan nyawa di zon konflik di mana hospital mungkin tidak selamat atau tidak boleh diakses.-AGENSI