BEIJING: China mencipta sejarah baharu dalam bidang angkasa lepas apabila melancarkan 12 satelit sebagai sebahagian daripada projek mega komputasi buatan (AI) angkasa yang digelar “Three-Body Computing Constellation”.
Pelancaran itu diketuai syarikat pemula teknologi, ADA Space dan Zhejiang Lab, dengan roket Long March 2D berjaya dilancarkan dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan di barat laut China.
Menurut laporan Space News, China Aerospace Science and Technology Corporation (CASC) mengesahkan pelancaran tersebut berlangsung dengan jayanya.
Kesemua 12 satelit itu akan membentuk buruj satelit komputasi angkasa yang pertama seumpamanya di dunia, sekali gus membuka era baharu dalam pemprosesan data secara langsung di orbit tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada sistem pemprosesan berasaskan bumi.
Menurut ADA Space, buruj satelit berkenaan mampu melakukan pemprosesan data mencecah lima peta operasi sesaat (POPS) dan dilengkapi dengan storan atas kapal sebanyak 30 terabait.
Satelit-satelit ini turut dilengkapi dengan teknologi terkini termasuk pautan laser antara satelit berkelajuan 100 Gbps dan peralatan penderiaan jauh, membolehkannya memproses dan menganalisis data secara terus di angkasa.
Antara satelit tersebut, satu daripadanya membawa instrumen “polarimeter sinar-X kosmik” yang dibangunkan oleh Universiti Guangxi bersama Balai Cerap Astronomi Kebangsaan (NAOC) di bawah Akademi Sains China dan direka untuk mengesan dan mengklasifikasi fenomena kosmik sementara seperti letusan sinar gamma, dan menghantar isyarat untuk misi pemerhatian susulan.
Pelancaran ini merupakan kumpulan pertama daripada keseluruhan 2,800 satelit yang dirancang untuk dihantar ke orbit dalam beberapa fasa dan ADA Space menyifatkan pencapaian ini sebagai permulaan kepada sistem pengkomputeran awan berasaskan angkasa dan satu lonjakan besar dalam perlumbaan angkasa antara China dan Amerika Syarikat (AS).
Menurut ADA Space, satelit-satelit ini bukan sahaja berfungsi sebagai alat komunikasi atau pengesanan, tetapi juga sebagai pemproses data pintar, menjadikannya satu pendekatan pelbagai fungsi yang revolusioner dalam dunia aeroangkasa disamping penempatan pemprosesan data di orbit ini juga dijangka membawa kesan besar dalam bidang ekonomi, sains dan juga pertahanan, selain mengukuhkan lagi cita-cita China untuk muncul sebagai peneraju teknologi AI global menjelang tahun 2030.
ADA Space atau nama penuhnya Chengdu Guoxing Aerospace Technology Co., Ltd., ditubuhkan pada tahun 2018 dan kini telah melaksanakan 11 misi angkasa serta membangunkan 15 satelit dan muatan AI, menurut kenyataan syarikat itu di laman web rasmi mereka. -AGENSI