MEXICO CITY: Suasana kempen pilihan raya tempatan di negeri Veracruz, Mexico bertukar tragis apabila calon datuk bandar, Yesenia Lara Gutiérrez ditembak mati bersama tiga lagi individu dalam satu kejadian pada malam Ahad lalu.
Insiden mengejut itu berlaku ketika Lara, calon dari parti pemerintah Morena, sedang berarak sambil bersalaman dengan penduduk dalam satu perarakan kempen yang turut disiarkan secara langsung menerusi Facebook miliknya.
Video siaran langsung berkenaan yang masih boleh ditonton sehari selepas kejadian, memaparkan suasana ceria dan sorakan penyokong yang tiba-tiba bertukar panik apabila kedengaran lebih 20 das tembakan dilepaskan dari arah luar kamera, menyebabkan orang ramai bertempiaran lari menyelamatkan diri.
Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum mengesahkan kejadian tersebut dalam sidang media pagi Isnin, sambil memaklumkan pihaknya masih belum menerima maklumat jelas mengenai motif pembunuhan.
“Kami sedang berkoordinasi rapat dengan kerajaan negeri Veracruz, khususnya dengan Setiausaha Keselamatan dan pihak pendakwa negeri. Kerajaan persekutuan sedia memberi bantuan yang diperlukan,” katanya, merujuk kepada persiapan menjelang pilihan raya tempatan pada 1 Jun di Veracruz dan Durango.
Pejabat Peguam Negara Veracruz mengesahkan serangan itu turut mengorbankan tiga individu lain selain Lara, manakala tiga lagi dilaporkan cedera.
Gabenor Veracruz, Rocío Nahle dalam kenyataan di platform X menzahirkan kecaman terhadap insiden berkenaan dan berikrar untuk menegakkan keadilan.
“Tiada jawatan atau kerusi pentadbiran yang berbaloi dengan nyawa manusia. Kita akan cari dan hukum pihak yang bertanggungjawab atas pembunuhan pengecut ini terhadap calon Morena dan para penyokong di Texistepec,” tegasnya.
Serangan terhadap calon dan pemegang jawatan politik bukanlah perkara baharu di Mexico, terutama ketika musim pilihan raya dan negara itu menyaksikan peningkatan mendadak dalam insiden keganasan politik.
Menurut Data Cívica, sebuah badan hak asasi manusia, sebanyak 661 serangan dilaporkan ke atas individu dan fasiliti berkaitan politik sepanjang tahun lalu jumlah tertinggi pernah direkodkan serta majoriti mangsa merupakan calon atau penyandang jawatan di peringkat perbandaran. –AGENSI